Pengalaman 22 tahun jadi taruhan Kedai Emas Anuar

KUALA LUMPUR – Sejak 22 tahun lalu, Mohd Khurulanuar Mhamad Noor sentiasa mencari jalan untuk terus memajukan dirinya.

Dia yang dilahirkan di Tanah Merah, Kelantan, kini sudah boleh menarik nafas lega apabila usahanya itu mula membuahkan hasil.

Menceburi perniagaan barangan kemas dan kini mempunyai pelbagai perniagaan sampingan lain, Mohd Khurulanuar, 46 tahun, tidak pernah melupakan asal usulnya sebagai orang kampung.

“Sebab itu saya ada juga menternak lembu selain menceburi sektor hartanah dan pemakanan,” katanya ringkas.

Mengimbas kembali penyertaannya dalam perniagaan berasaskan barangan kemas itu, Mohd Khurulanuar berkata, dia mula mempelajari hal berkaitan emas dan perhiasan sejak belajar di universiti.

“Masa belajar itu saya kerja sambilan sebagai tukang emas.

“Kemudian baru jatuh cinta kepada perniagaan ini.

“Sebelum saya mulakan perniagaan kedai emas, saya dah cuba macam-macam perniagaan… tapi akhirnya saya fikir ini yang paling kena dengan jiwa,” katanya.

Sehingga kini, Kedai Emas Anuar sudah mempunyai lebih 10 cawangan di seluruh negara.

Satu lagi cawangan kedai emas miliknya akan dibuka di Kuantan, minggu depan.