Pemandu maut, lori treler terbalik di Benta, Lipis

LIPIS – Seorang pemandu lori treler maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 25 , Jalan Kampung Budu ke Kampung Tualang Padang berdekatan Benta di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi hari ini, Chu Chuan Shuang yang berusia 35 tahun beralamat Kampung Sri Parit Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, ketika kemalangan itu, lori treler jenis Hino bernombor NBW 5188 dipandu oleh seorang lelaki Cina dipercayai dalam perjalanan dari negeri Selangor menuju ke Gua Musang, Kelantan untuk menghantar minyak ke lombong kuari.

“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa berkenaan dipercayai memandu menuruni bukit dan tiba-tiba lori treler tersebut hilang kawalan dan terbalik ke sebelah kanan jalan menghala ke arah Kampung Budu, Benta.

“Akibat kemalangan tersebut, sebahagian badan mangsa telah tersepit di bahagian pintu tempat duduk pemandu dan disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Lipis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, hasil siasatan polis mendapati punca kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu sendiri yang gagal mengawal kenderaan sehingga kenderaan yang dipandunya telah hilang kawalan dan terbabas sendiri.

Anggota bomba memeriksa lori treler yang terbalik menyebabkan pemandu tersepit dan maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 25, Jalan Kampung Budu ke Kampung Tualang, dekat Benta, Lipis, Pahang hari ini. – FOTO /IHSAN IPD LIPIS

“Bedah siasat akan dijalankan selepas menjalani ujian Covid-19 dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Azli berkata, lori treler berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian bumper depan pecah dan pintu bahagian duduk pemandu kemek.

Katanya, kemalangan berlaku di kawasan jalan selekoh, keadaan jalan berturap, sistem jalan satu lorong dua hala, garisan tengah berkembar dan menuruni bukit, manakala cuaca semasa kejadian cerah dan tidak hujan.

“Saya meminta semua pengguna jalan raya khususnya kenderaan berat supaya berhati-hati ketika melalui Jalan Negeri yang sempit dan berbukit termasuk kenderaan masing-masing perlu diselenggara dengan baik dan sempurna,” ujarnya.