Sila datang PAU jika rindu, Zahid beritahu bekas ahli Umno
Sila datang PAU jika rindu, Zahid beritahu bekas ahli Umno
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu mengalu-alukan bekas ahli atau ahli bukan perwakilan untuk hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 tidak lama lagi.
Zahid berkata, bekas ahli parti boleh datang sebagai pemerhati dan untuk mengubat kerinduan mereka terhadap suasana meriah perhimpunan tersebut.
“Siapa-siapa nak datang ahli yang bukan perwakilan atau bekas ahli (Umno) yang mahu (datang), atau kerinduan mereka terhadap perhimpunan agung ini, sila datang. (Mereka) yang dari lain-lain parti juga boleh datang.
“Kita harapkan PAU 2023 ini adalah suatu titik permulaan bagi kita untuk menyelesaikan permasalahan atau isu yang ada sekarang ini,” katanya menurut Astro Awani.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri rumah terbuka sambutan Hari Gawai di Kapit, Sarawak.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki semalam dilaporkan secara berseloroh ‘mengajak’ mereka yang dipecat daripada parti itu untuk datang memperbaharui kain samping Umno mereka pada PAU 2023, yang dijadual pada 7 Jun hingga 10 Jun ini.
Umno sebelum ini memecat beberapa ahlinya termasuk bekas ketua pemuda yang juga bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin dan ketua Umno Bahagian Tanjong Karang, Noh Omar.
Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein dan bekas ketua penerangan, Shahril Sufian Hamdan pula digantung keahlian selama enam tahun.