SIJIL PENGESAHAN VAKSINASI MALAYSIA-AUSTRALIA
SIJIL PENGESAHAN VAKSINASI MALAYSIA-AUSTRALIA
KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan kepada Australia supaya bekerjasama mewujudkan Perakuan Bersama Sijil Pengesahan Vaksinasi untuk membolehkan perjalanan dan memulihkan proses rentas sempadan selepas kedua-dua negara terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menteri Luar, Hishammuddin Hussein, berkata langkah itu penting memandangkan lebih 19,000 penuntut Malaysia sedang menunggu untuk menyambung pengajian di Australia.
Hishammuddin mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Luar dan Menteri Wanita Australia, Marise Payne dalam mesyuarat secara maya pada Isnin.
“Berikutan pandemik Covid-19 ketika ini, kami juga mengadakan perbincangan konstruktif mengenai pelan vaksinasi negara masing-masing yang sedang rancak dilaksanakan,” katanya.
Hishammuddin berkata, mereka turut membincangkan isu serantau dan antarabangsa termasuk perkembangan di Myanmar, dipetik dari Bernama.
Katanya, beliau memaklumkan Payne mengenai Mesyuarat Pemimpin Asean di Jakarta, Indonesia, hujung minggu ini yang diharap membincangkan berkaitan negara yang bergolak itu.
“Bimbang mengenai penggunaan senjata oleh tentera yang mengakibatkan peningkatan jumlah kematian selain penangkapan orang awam, saya menyuarakan gesaan Malaysia kepada semua pihak supaya mengelak menggunakan keganasan serta menuntut mereka bertenang dan bertolak ansur,” katanya.
Sementara itu, dalam pertemuan tiga hala dengan rakan sejawat mereka dari Brunei, Erywan Mohd Yusof, katanya, ketiga-tiganya mengakui berlaku peningkatan masalah kesihatan mental di rantau ini, diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19, dan kesannya terhadap masyarakat dalam jangka panjang sekiranya tidak ditangani.