RUMAH BERTIANG, CONTOH PEMBINAAN KEDIAMAN DI TEPI SUNGAI – KDYMM AGONG
Rumah bertiang contoh pembinaan kediaman di tepi sungai – KDYMM AGONG
TEMERLOH – Yang di-pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini bertitah supaya reka bentuk rumah bertiang dijadikan contoh pembinaan kediaman di tepi sungai selepas ini.
Baginda bertitah reka bentuk rumah bertiang itu juga merupakan salah satu langkah keselamatan sekiranya berlaku musibah banjir.
“Mudah-mudahan musim banjir ni akan terselamatlah. Kita harap tidak ada banjir dan saya harap mana-mana rumah yang dibina di di tepi Sungai Pahang ni harus mengambil kira ketinggian. Saya harap ini dapat jadi satu contoh pada rumah rumah yang terdapat di Sungai Pahang.”
Seri Paduka bertitah ringkas selepas mendengar sembah taklimat rumah tersebut pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada seorang penerima di Kampung Lompat di sini hari ini.
Ketibaan baginda pada pukul 11.30 pagi diiringi anakanda, Tengku Arif Bendahara Tengku Mmuhammad Iskandar Ri’Ayatuddin Shah.
Seri Paduka kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dengan penerima kunci kediaman itu berikutan rumah mereka sebelum ini rosak teruk ketika banjir buruk melanda Pahang, awal tahun ini.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan sebelum meninjau rumah setingkat bertiang berkeluasan 960 kaki persegi yang mempunyai ruang makan, tiga bilik, tiga bilik air selain lengkap serba serbi disertakan perabot termasuk set bilik tidur.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada dua lagi penerima di dua kampung iaitu di Kampung Pangsenam dan Kampung Tanjung Pasir, di sini pada sebelah petangnya.
– SAHIH