RM1.26 bilion untuk FELDA bukti kebajikan peneroka terus diberi perhatian – Razak
RM1.26 bilion untuk FELDA bukti kebajikan peneroka terus diberi perhatian – Razak
JERANTUT: Peruntukan RM1.26 bilion kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi Belanjawan 2027 disambut baik kerana dilihat mampu membawa manfaat besar kepada peneroka dan generasi baharu tanah rancangan di seluruh negara.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memberi kelegaan kepada warga FELDA, khususnya dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup dan menyediakan kemudahan lebih baik.
Menurutnya, tumpuan terhadap pengukuhan kewangan FELDA, penyelenggaraan jalan serta perumahan generasi baharu membuktikan kepentingan masyarakat peneroka terus diberi perhatian kerajaan.
“Kami warga peneroka FELDA amat mengalu-alukan peruntukan RM1.26 bilion yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2027.
“Ini satu berita menggembirakan kerana peneroka bukan sahaja memerlukan kestabilan pendapatan, malah kemudahan infrastruktur yang baik serta penyelesaian terhadap keperluan perumahan anak-anak generasi kedua dan seterusnya,” katanya.

Razak berkata, isu perumahan generasi baharu antara perkara yang perlu diberi keutamaan memandangkan ramai anak peneroka berhasrat membina kehidupan dan menetap di tanah rancangan masing-masing.
Beliau berharap peruntukan berkenaan dapat disalurkan secara terancang supaya manfaatnya benar-benar dirasai masyarakat FELDA, termasuk di Wilayah Jengka.
“Kita berharap pelaksanaan segala inisiatif ini dapat dipercepatkan, terutama penyelenggaraan jalan dan penyediaan perumahan yang menjadi antara keperluan utama warga peneroka.
“Pada masa sama, kita mahu generasi baharu terus melihat FELDA sebagai tempat membina masa depan dan bukan sekadar tanah rancangan peninggalan generasi terdahulu,” katanya.
Sementara itu, Razak turut menyambut baik perkembangan pendapatan peneroka yang diumumkan kerajaan dan berharap peningkatan berkenaan dapat diteruskan.
Belanjawan 2027 yang dibentangkan Anwar semalam turut mendedahkan purata pendapatan bersih peneroka meningkat daripada RM2,272 sebulan pada 2023 kepada RM3,800 tahun ini.
Seramai 109,000 peneroka juga dilaporkan kini memiliki hak milik tanah masing-masing.-SAHIH
#kw Felda, Ketua Peneroka, Belanjawan 2027
