Raja ikut Perlembagaan, bukan kehendak politik – Anwar
Raja ikut Perlembagaan, bukan kehendak politik – Anwar
MELAKA: Institusi diraja perlu kekal berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang serta tidak boleh berubah mengikut kehendak atau tekanan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kestabilan institusi itu boleh terjejas sekiranya kedudukan seseorang pemerintah boleh dipersoal atau diubah tanpa mengikut proses yang ditetapkan.
Anwar berkata, perkembangan membabitkan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menunjukkan pentingnya setiap pihak menghormati Perlembagaan dan undang-undang.
“Kalau Raja ini boleh tukar bulan-bulan, gagallah sistem Raja. Sebab itu Yang di-Pertuan Agong faham bahawa Raja yang ada itu sah.
“Raja mesti ikut Perlembagaan. Raja jangan ikut orang politik, kalau tidak rosak negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Cina Malaysia ke-41 di Kota Syahbandar, di sini.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan proklamasi bertarikh 19 April lalu berhubung kedudukan Tuanku Muhriz adalah tidak sah kerana tidak memenuhi keperluan mandatori di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959).
AGC turut menyatakan tiada bukti menunjukkan mana-mana alasan hilang kelayakan yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1) terpakai terhadap Tuanku Muhriz.
Pada masa sama, Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk memecat atau mengisytiharkan kekosongan jawatan Yang Dipertuan Besar.
Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) pula menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah serta Yang Dipertua DKU.
DKU menyatakan tiada kekosongan jawatan berkenaan selagi ia masih dipegang secara sah mengikut peruntukan undang-undang negeri.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Anwar Ibrahim, Tuanku Muhriz, institusi diraja, Negeri Sembilan
