Puluhan beg beras, sardin dibuang pihak tidak bertanggungjawab
Puluhan beg beras, sardin dibuang pihak tidak bertanggungjawab
TEMERLOH – Sejak lewat petang tadi, tular di media sosial gambar puluhan beg beras dan tin sardin dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum.
Difahamkan, gambar itu dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial Facebook yang kebetulan melalui jalan berkenaan.
Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan yang dianggap membazir itu.
Namun, berdasarkan maklumat diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai, beras itu dibuang kerana sudah mengalami kerosakan akibat disimpan terlalu lama.
Seorang pengguna media sosial mendakwa perbuatan itu dilakukan oleh seorang ahli politik yang tewas dalam pilihan raya umum ke-15.
Dakwanya, beras dan sardin berkenaan sepatutnya diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar daerah Temerloh dan Maran pada Januari lalu.
Namun, sehingga malam ini, belum ada pihak tampil mengaku dan menafikan dakwaan berkenaan.– SAHIH