PPS pertama dibuka di SK Felda Kota Gelanggi Satu, tempatkan 75 mangsa
PPS pertama dibuka di SK Felda Kota Gelanggi Satu, tempatkan 75 mangsa
JERANTUT : Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Satu, daerah ini telah dibuka dengan menempatkan seramai 19 Keluarga yang terdiri daripada 75 orang mangsa kawasan penempatan Felda tersebut hari ini.
Pengerusi Biro Sosial Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, mangsa yang dipindahkan itu terdiri daripada lima orang warga emas lelaki, warga emas perempuan (7 orang), lelaki dewasa (23 orang), perempuan dewasa (16 orang), kanak-kanak lelaki (11 orang) dan 13 orang kanak-kanak perempuan.
“PPS SK Felda Kota Gelanggi Satu dibuka pada jam 9.00 pagi hari ini apabila mangsa banjir di Felda tersebut terpaksa dipindahkan berikutan air Sungai Siam melimpah masuk ke penempatan di situ akibat hujan lebat sejak semalam.
“Paras air Sungai Siam menunjukkan trend menurun dan mulai surut. Walau bagaimanapun, keadaan masih dipantau dari semasa ke semasa kerana dikhuatiri hujan akan turun dan menyebabkan paras air sungai meningkat semula,” kataya.
Katanya, mangsa yang ditempatkan di PPS ini dipantau serta diberi bantuan makanan serta kebajikan lain oleh pihak berkuasa beruniform, agensi kerajaan di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jerantut, pengurusan Felda dan Jawatan Kuasa Kemajuan Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK).
Abdul Razak menasihati mangsa supaya bersabar berdepan ujian itu dan semua bantuan kebajikan akan disalurkan segera di PPS tersebut.
Katanya, penduduk di kawasan Felda lain di daerah yang kerap ditimpa banjir kilat supaya lebih berwaspada dengan menjaga keselamatan keluarga dan harta benda memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat kerap turun minggu ini.-SAHIH.