POLIS CARI AMIR
Berita Jenayah
DIPERCAYAI TERBABIT DALAM KES BUNUH
SEGAMAT: Polis menahan lapan lelaki warga asing yang bekerja di tapak pembinaan di Taman Kenari, Bukit Siput, bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki Bangladesh pada Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mereka diberkas itu terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga Myanmar berusia antara 29 hingga 53 tahun.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam Selasa lalu, katanya, mangsa berusia 44 tahun maut disyaki akibat digilis tiga kali oleh sebuah kereta.
Beliau berkata, kereta itu disyaki dipandu seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai ‘Amir’ berusia 25 tahun diburu polis.
“Suspek turut disyaki menikam seorang lagi lelaki warga Bangladesh menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian badan mangsa,” katanya pada sidang media disiarkan BH Online.
Ayob Khan berkata, suspek kemudian melarikan diri dengan memandu sebuah kereta sebelum kenderaan berkenaan ditemui ditinggalkan kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati terdahulu mangsa dikatakan tidak berpuas hati kerana suspek didakwa berbual telefon bimbit dengan suara kuat sehingga mengganggu mereka yang sedang tidur di rumah kongsi.
“Suspek yang berang ditegur kemudian didakwa memanggil beberapa rakan warga Indonesia untuk menyerang kumpulan warga Bangladesh terbabit sehingga tercetus pergaduhan,” katanya.
Beliau berkata, semua tangkapan direman selama lima hari hingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang ada maklumat berkaitan kes terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Norisyah Abdul Rahim, melalui talian 07-9312222 atau balai polis berhampiran.