PKR Tidak Tetapkan Tempoh Cuti Nurul Izzah
PKR Tidak Tetapkan Tempoh Cuti Nurul Izzah
Melaka: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menetapkan sebarang tempoh masa khusus bagi cuti yang diambil Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar, yang dijadualkan menyambung pengajian dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, parti memberi ruang sepenuhnya kepada Nurul Izzah untuk memberi tumpuan kepada pembangunan diri sebelum kembali meneruskan tanggungjawab dalam organisasi.
Menurutnya, kepimpinan parti sentiasa bersedia menerima semula khidmat Nurul Izzah apabila beliau bersedia untuk kembali aktif dalam pentadbiran parti.
“Insya-Allah, kita sedia apabila beliau bersedia untuk meneruskan tugas semula,” katanya pada sidang media sempena Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Fuziah berkata, Nurul Izzah akan memulakan cutinya selepas selesai semua tanggungjawab berkaitan kongres termasuk Perasmian Bersama Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta sesi penggulungan.
“Timbalan Presiden akan bercuti selepas kongres, menyelesaikan tugas sewaktu kongres termasuk perasmian AMK dan Wanita serta penggulungan dan sebagainya,” katanya.
Susulan pengunduran sementara Nurul Izzah daripada tugas harian parti, PKR melantik Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi menjalankan tanggungjawab Timbalan Presiden secara sementara.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memastikan perjalanan organisasi parti terus lancar tanpa menjejaskan operasi dan pengurusan parti sepanjang tempoh ketiadaan Nurul Izzah.
Terdahulu, Nurul Izzah menyampaikan ucapan pada Perasmian Bersama Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR yang berlangsung di MITC.
Beliau sebelum ini memaklumkan hasrat untuk menyambung pengajian dan pada masa sama terus menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai saluran lain, termasuk agenda masyarakat MADANI.
Fuziah berkata, keputusan berkenaan mendapat sokongan kepimpinan parti yang melihatnya sebagai satu pelaburan jangka panjang untuk pembangunan kepimpinan PKR pada masa depan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
