PENIAGA MAUT PACUAN 4 RODA TERBABAS
Berita Kemalangan
PENIAGA MAUT PACUAN 4 RODA TERBABAS
RAUB: Seorang ahli perniagaan maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum melanggar pokok di Kilometer 16 Jalan Sungai Ruan-Lembah Klau, dekat sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, kejadian jam 8.45 pagi itu dipercayai berpunca akibat pemandu terbabit gagal mengawal kenderaan sebaik tiba di lokasi kejadian.
“Mangsa adalah seorang lelaki dikenali sebagai Neng Sai Mun berusia 28 tahun dan berasal dari Sungai Ruan, Raub.
“Berdasarkan siasatan awal, kenderaan dipandu mangsa gagal dikawal kerana dipercayai dipandu laju sebelum terbabas,” katanya melalui kenyataan media di sini, hari ini.
Kama Azural berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan kenderaan dipandu mangsa dirujuk ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kami meminta kerjasama saksi kejadian tampil bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.