PENDAFTARAN VAKSIN COVID-19 MAC INI
PENDAFTARAN VAKSIN COVID-19 MAC INI
PUTRAJAYA: Pendaftaran untuk mendapatkan vaksin COVID-19 akan mula dibuka pada 1 Mac ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pendaftaran itu boleh dibuat melalui lima kaedah.
“Pendaftaran boleh dibuat termasuk melalui aplikasi MySejahtera, laman sesawang, dengan panggilan, selain individu yang dikenal pasti untuk mendapatkan vaksin terbabit,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan penularan COVID-19.
Selain vaksin keluaran Pfizer dan BioNTech yang akan mula diperoleh pada 21 Februari ini, Dr Noor Hisham berkata, tiga lagi syarikat pengeluar vaksin sudah menghantar dossier kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu Sinovac, Sputnik V dan AstraZeneca.
GAMBAR HIASAN
Katanya, NPRA masih menjalankan penilaian terhadap keberkesanan dan kesan samping ketiga-tiga vaksin, terutama membabitkan kajian klinikal fasa tiga.
Beliau berkata, NPRA juga sudah menghantar maklum balas dan soalan kepada pengeluar Sputnik V, Gamelaya Research Institute membabitkan dossier yang dihantar.
Katanya, apabila syarikat itu menjawab persoalan yang diutarakan, pihaknya akan mendapatkan kelulusan bersyarat untuk vaksin berkenaan.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, syarikat pengeluar vaksin boleh menghantar sebarang data terkini kajian mereka membabitkan vaksin yang dikeluarkan untuk dinilai oleh NPRA.
“Contohnya sekarang ini kita dapati ada satu kajian dijalankan terhadap mereka yang berusia 12 tahun ke atas,” lapor BH Online.
“Kita kena lihat kepada bukti (pelalian terhadap individu berusia) 12 tahun ke atas untuk melihat keberkesanan dan kesan samping terhadap mereka yang berusia 12 tahun ke atas.
“Sehingga kita mendapat bukti yang kukuh baharu kita akan mengesyorkan penggunaan vaksin itu kepada mereka yang berusia 12 tahun ke atas,” katanya.