PEMBANTU KEDAI MAUT LANGGAR LORI
PEMBANTU KEDAI MAUT LANGGAR LORI
KOTA SAMARAHAN: Seorang pembantu kedai meninggal dunia selepas merempuh belakang sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan raya di Jalan Ensenggei, di sini malam Jumaat.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata manga dikenali sebagai Muhammad Nazri Mahli,22, dan berasal dari Kampung Lubuk Buntin, Simunjan.
Menurutnya, mangsa semasa kejadian menunggang sebuah motosikal dari arah Kota Samarahan menuju ke Simunjan iaitu sekitar jam 7.47 malam.
“Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah apabila melanggar sebuah lori yang ditinggalkan tanpa dijaga di tepi jalan raya tersebut dipercayai rosak.
“Impak kemalangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati cuaca adalah baik dan keadaan jalan gelap kerana tiada lampu jalan, lapor Sarawak Post.
“Kita juga sekarang sedang berusaha mengesan pemandu lori,” katanya.