Pemaju perumahan baharu utama Langkah keselamatan dan gangguan suasana penduduk berdekatan
Foto atas : Mohd Zamri bersama-sama rakan menunjukkan tapak binaan perumahan baharu itu yang hampir dengan tembok belakang rumah mereka.
Pemaju perumahan baharu utama Langkah keselamatan dan gangguan suasana penduduk berdekatan
BELAKONG- Pemaju perumahan seharusnya mengutamakan langkah keselamatan dan menghindari gangguan yang menjejaskan ketenteraman suasana penduduk yang tinggal berhampiran di kawasan projek mereka.
Perkara itu perlu dititikberatkan malah wajar diberi perhatian serius terutama membuat penyelidikan dan kajian mendalam terlebih dahulu sebelum melaksanakan projek berkenaan kerana sudah pasti ada prosedur yang kena patuhi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Balakong di Selangor, Wong Siew Ki, berkata membuat sesuatu urusan atau aturan cara bekerja mesti ada prosedur yang wajar dipatuhi sama ada sesuatu projek itu besar atau kecil supaya tidak menjejas keselamatan, ketenteraman serta kerosakan harta benda penduduk berdekatan.
Menurut Siew Ki, apabila berlaku sesuatu perkara tidak diingini seperti bantahan atau rungutan daripada penduduk jangan cepat menuding jari dan menyalahkan satu sama sebaliknya dibawa berbincang, buat siasatan dan memberi perhatian terhadap perkara itu.
“Cara itu akan ada penyelesaian terbaik yang akan memuaskan hati semua pihak dan keharmonian hubungan baik pemaju dengan penduduk di kawasan dibangunkan selama ini akan terus terjalin.
“Saya secara peribadi tidak bersetuju jika ada projek dimajukan atau dibangunkan di satu-satu kawasan boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman penduduk, sedangkan perkara ini perlu diberikan keutamaan sebagaimana menjadi hasrat Kerajaan Malaysia Madani sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan dan melihat secara dekat rungutan penduduk di Avenue 4, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) yang mendakwa rumah kediaman mereka mengalami kerosakan serta keretakan berikutan projek perumahan baharu Avenue 3 bersebelahan sejak awal tahun ini, .
Siew Ki yang berada di kawasan berkenaan lebih satu jam melahirkan rasa dukacita dan menganggap perkara itu tidak seharusnya berlaku jika pemaju membuat penyelidikan serta kajian terperinci terlebih dahulu selain mematuhi prosedur yang mungkin mereka lebih arif.
Beliau berkata, sebagaimana dakwaan penduduk jika benar aduan telah dibuat kepada pemaju iaitu UDA Land Sdn Berhad, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta pihak berkenaan seharusnya sudah ada tindakan dibuat bukan hanya menunggu sesuatu kejadian tidak diingini berlaku baru hendak bertindak.
Menurutnya, selepas berbincang dengan penduduk terbabit dia akan mengusulkan arahan bertulis kepada pihak berkenaan untuk mengkaji semula perkara itu dengan serius dan paling penting menghentikan segera buat sementara kerja pembinaan terutama memasti pelbagai prosedur sudah dipatuhi.
“Saya juga akan merujukan perkara ini termasuk menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk sama melihat secara terperinci masalah yang menimpa penduduk ekoran projek berkenaan,” katanya.
Sementara itu, wakil penduduk kawasan berkenaan, Mohd Zamri Abdul Ghani, berkata kerosakan dan keretakkan dialami enam rumah bersebelahan projek bermula awal tahun ini apabila pemaju memulakan projek berkenaan.
“Masalah berkenaan semakin ketara apabila pemaju mula memasukkan pelbagai jentera untuk menanam cerucuk bangunan serta memecahkan batu yang menyebabkan berlaku gegaran kuat di samping bunyi bising hingga larut malam dan kerja-kerja diteruskan pada hujung minggu sejak Februari 2023.
“Keadaan itu menyebabkan kami mula berasakan binaan rumah akan terjejas dan rosak seperti berlaku sekarang selain bunyi bising itu menganggu ketenteraman mereka memiliki anak kecil atau cucu di samping ibu bapa yang uzur,” katanya. -SAHIH.