PARAH DITETAK PARANG
MANGSA DISERANG 2 SUSPEK
TELUK INTAN: Seorang lelaki parah diserang dan ditetak dengan parang oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pasar mini di Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan, Perak semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata mangsa, 46, baru selesai membuat bayaran, keluar dari pasar mini itu sebelum dikejar dengan parang oleh dua lelaki yang keluar dari sebuah kereta berhampiran premis.
GAMBAR HIASAN
Katanya, mangsa berlari masuk ke dalam kedai namun dikejar kedua-dua suspek sehingga terjatuh sebelum mereka menetak mangsa di tangan dan kakinya dengan parang beberapa kali.
“Dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan disiarkan Malaysiapost.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan dan keadaannya kini stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Rakaman CCTV yang menunjukkan mangsa berlari masuk ke dalam kedai sambil dikejar dua lelaki yang memakai penutup muka dengan membawa senjata tular di media sosial.