10 KELUARGA TERIMA SUMBANGAN
PROGRAM ZIARAH KASIH DUN PULAU TAWAR
JERANTUT: Sebanyak 10 keluarga menjadi kumpulan pertama dipilih menerima sumbangan melalui program Ziarah Kasih peringkat dewan undangan negeri (DUN) Pulau Tawar, dekat sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, program itu dimulakan di FELDA Sungai Tekam dan akan diteruskan ke kawasan lain dalam DUN Pulau Tawar secara berperingkat.
“Untuk fasa pertama, kita mulakan di sini (FELDA Sungai Tekam) dan seterusnya ke lokasi lain dari semasa ke semasa.
DATUK Nazri Ngah (dua dari kiri) mengunjungi rumah seorang penerima sumbangan pada program Ziarah Kasih UMNO Bahagian Jerantut
“Objektif utama ialah untuk membantu seramai mungkin penduduk dalam DUN Pulau Tawar yang berdepan kesulitan sejak COVID-19 melanda negara kita awal tahun ini.
“Melalui program ini, kita serahkan sumbangan pelbagai barangan keperluan asas kepada 10 penerima dan mereka (penerima) sudah dikenal pasti dengan kerjasama pemimpin setempat,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Keusahawanan, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang.
Program itu turut disertai Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Muhamad Faizal Jamlus; Ketua Puteri UMNO Bahagian, Faezah Ishak dan ahli jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian, Razak Daud.
UMNO Bahagian Jerantut menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam program Ziarah Kasih DUN Pulau Tawar di FELDA Sungai Tekam
Selain mengunjungi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan, program Ziarah Kasih itu juga turut menyantuni golongan orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.