Ibu maut, anak patah pinggul kereta terjun gaung
Ibu maut, anak patah pinggul kereta terjun gaung
LIPIS: Seorang wanita berusia 66 tahun maut, manakala anak lelakinya patah pinggul selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjun ke gaung di Kilometer 17 Jalan Lipis-Merapoh, Kampung Selendang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9.50 malam, mangsa bersama anak perempuan berusia 29 tahun yang memandu kereta dan anak lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Tumpat, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu wanita itu hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang elektrik di sebelah kiri jalan dan terjatuh ke dalam gaung.
“Penumpang hadapan berusia 66 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu mengalami kecederaan ringan.
“Penumpang belakang berusia 31 tahun pula mengalami kecederaan patah pinggul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan selamat.
Ismail serta seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.-SAHIH
#Lipis #Kemalangan #JalanLipisMerapoh #PolisPahang
