PANTAU CAJ SWAB TEST
PANTAU CAJ SWAB TEST
GEORGETOWN: Pihak berkuasa diminta melakukan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap klinik swasta yang mengenakan caj terlalu tinggi untuk ujian saringan Covid-19.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow berkata, tinjauan dan aduan mendapati beberapa klinik mengenakan caj yang tidak masuk akal terhadap individu yang menjalankan ujian saringan tersebut.
GAMBAR HIASAN
Menurutnya, ketika ini, harga ujian RT-PCR boleh mencecah antara RM220 hingga RM388 manakala RTK-Antigen antara RM90 hingga RM170.
“Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini. CAP mengalu-alukan kenyataan beliau iaitu mengenai kawalan harga untuk ujian saringan Covid-19.
“CAP bimbang, jika harga ujian ini tidak dikawal, ada pihak yang akan mengambil kesempatan dengan mengenakan caj lebih tinggi daripada yang sepatutnya,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu, lapor Sinar Harian.
Tambahnya, pengguna akan terbeban sekiranya harga ujian saringan tersebut tidak dikawal.
“Sebelum ini ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjual pelitup muka pada harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.
“Bagaimanapun, harga tidak terkawal barangan itu kembali stabil selepas kerajaan mengawal harga barangan itu.
“Jadi, kita mohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengawal kadar harga ujian saringan Covid-19,” katanya.
GAMBAR HIASAN
KKM sebelum ini memaklumkan dalam peringkat kajian untuk mengawal harga ujian saringan RT-PCR di hospital awam dan swasta.
Dr Noor Hisham berkata, pengawalan harga itu boleh dilaksanakan menerusi Ordinan Darurat.
Menurut beliau, KKM menyedari terdapat perbezaan harga terhadap ujian tersebut berikutan permintaan yang tinggi.