Pahang tutup semua tapak perkhemahan
Pahang tutup semua tapak perkhemahan
KERAJAAN Pahang sudah mengeluarkan arahan penutupan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, arahan penutupan itu sudah dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) semalam.
“Saya sentiasa mengikuti perkembangan operasi menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali.
“Dalam masa yang sama dengan mengambil iktibar daripada kejadian tanah runtuh ini, JPNP telah menutup semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi mulai hari ini (semalam) sehingga ke satu tempoh dimaklumkan kelak.
“Sama-sama kita doakan agar dipermudahkan segala urusan pasukan penyelamat, Aamiinn,” katanya melalui satu hantaran di media sosial Facebook rasmi miliknya.
Dalam pada itu, JPNP dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sudah menutup semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi termasuk di lereng bukit dan air terjun bermula Jumaat (semalam) sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
JKNP berkata, penutupan itu membabitkan semua tapak perkhemahan diuruskan jabatan berkenaan dan pihak operator swasta seperti di Taman Eko-Rimba Lubuk Yu, Maran dan Taman Eko-Rimba Parit Falls, Cameron Highlands.
Langkah itu diambil susulan kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada awal pagi semalam.
Selain itu, Ia juga mengambil kira ramalan hujan lebat berterusan yang dikeluarkan di negeri ini.-SAHIH