BENTONG – Calon Barisan Nasional (BN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam tiba di Pusat Penamaan Calon di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, dekat sini, sebentar tadi.
Dia ditemani pimpinan tertinggi parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Amizar diapit Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Lokasi penyokong BN§berhimpun kira-kira 500 meter dari Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, yang menjadi pusat penamaan calon.
Ia menjadi hentian atau ‘pit stop’ buat penyokong BN termasuk beberapa penyokong Pakatan Harapan (PH) sebelum berarak ke pusat berkenaan.
Penyokong Perikatan Nasional (PN) pula kelihatan tenang dan dihadiri lebih 1,000 orang.
Difahamkan kedua-dua penyokong hadir seawal jam 6.30 pagi untuk berarak menyokong calon parti masing-masing.
Sementara itu, calon BEBAS, Haslihelmy DM Zulhasli tiba di Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai, Felda Kemasul kira-kira jam 9.05 pagi.
Beliau adalah bekas ahli UMNO Kampung Sum-Sum, dekat Janda Baik, Bentong. – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BENTONG – Pegawai dan anggota polis, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengamal media mula berkumpul di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, Pelangai sebelum proses penamaan calon bagi PRK Pelangai, membuka tirai.
Pusat penamaan calon dijadualkan dibuka jam 9 pagi dan semua calon mempunyai tempoh sejam – sehingga 10 pagi, untuk menyerahkan borang pencalonan mereka.
SPR sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian.
Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga jam 11.59 malam, 6 Oktober.
Barisan Nasional menamakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong Datuk Amizar Abu Adam, 50, sebagai calon bertanding di kerusi DUN itu manakala Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong, Kasim Samat, 62, bakal mewakili Perikatan Nasional.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang yang juga dikatakan ahli UMNO Kampung Sum Sum, Haslihelmy DM Zulhasli, 36, pula dijangka turut bertanding pada PRK kali ini.
Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK Pelangai, termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas dekat bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUANTAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan bermula dengan proses penamaan calon di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, pagi esok.
Bakal calon diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan, sebelum senarai calon layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus di pusat penamaan calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang sebelum ini mengesahkan tujuh set borang pencalonan dijual setakat 18 September lalu.
Masing-masing tiga set dibeli wakil UMNO dan Perikatan Nasional (PN) dan wakil sebuah pertubuhan.
Barisan Nasional (BN) dan PN masing-masing sudah mengumumkan calon berpengalaman, dengan kedua-duanya pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
BN mempertaruhkan ahli jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, 50, yang juga anak jati FELDA Chemomoi dalam DUN Pelangai untuk mempertahankan kubu kuat parti itu.
Pada PRU15, Amizar mewakili BN bertanding di DUN Ketari dalam Parlimen Bentong, namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) Thomas Su Keong Siong.
PAS sekali lagi menurunkan Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat, 63, yang pernah bertanding di DUN Pelangai pada PRU15, namun tewas kepada penyandang DUN itu, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Turut menyatakan hasrat mencuba nasib pada PRK itu ialah Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli, 36, yang menjadi individu terawal membeli borang pada 29 Ogos lalu, lapor Bernama.
Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah BN dan PN masing-masing mendapat 17 kerusi manakala PH menang lapan kerusi.
Kerajaan Pahang terbentuk dengan kerjasama BN dan PH.
PRK Pelangai yang pertama selepas PRU15 di Pahang akan berlangsung pada 7 Oktober ini, susulan kematian Johari dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Seramai 16,456 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu.
Ini termasuklah 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Amizar miliki pengalaman, dikenali penduduk setempat
BENTONG – Pemilihan calon BN untuk PRK Pelangai sudah selesai Rabu lalu.
Seperti dijangka, anak jati FELDA Chemomoi, Datuk Amizar Abu Adam adalah calon terbaik untuk meneruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Amizar bukan nama asing dalam kalangan penduduk setempat.
Ahli perniagaan itu berusia 50 tahun dan memiliki kelulusan akademik yang bagus.
Beliau mempunyai ijazah sarjana muda pengurusan perniagaan dari Universiti Teknologi Malaysia.
Selain itu, Amizar juga memiliki ijazah sarjana (Master) dalam pengajian pengurusan strategik dan kepimpinan dari Universiti Sains Malaysia.
Pembabitan beliau dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kami Anak FELDA (KAF) membawa visi yang jelas, untuk membantu membangunkan ekonomi di kawasan tanah rancangan itu.
Amizar memegang jawatan sebagai Bendahari Agung KAF sejak 2020 hingga kini.
Jawatan lain disandang beliau dalam KAF pula antaranya Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan dan Pengerusi KAF Wilayah Mempaga.
Amizar adalah ahli jawatankuasa UMNO Bentong dan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Biro Ekonomi Pemuda UMNO Malaysia.
Dengan pelbagai pengalaman dalam aktiviti kemasyarakatan dan ekonomi, sudah tentu pengundi di Pelangai mempunyai peluang untuk memilih calon terbaik dalam PRK pada 7 Oktober nanti.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Foto atas : Ahmad (tengah) dan Azmi Hassan (dua dari kiri) pada Program Perangi Aedes di tapak pasar malam, Taman Seri Putera, Banting, Selangor , baru-baru ini.
Penduduk perangi Aedes setiap bulan
BANTING – Penduduk Taman Seri Putera, Banting, Selangor memberi sokongan padu kepada Program Perangi Aedes yang diadakan setiap bulan di tapak pasar malam taman berkenaan bermula 10 September lalu.
Bagi memastikan keberkesanan program itu, Pasukan Combi Taman diwujudkan dengan dipengerusikan oleh Azmi Hassan supaya dapat bergerak aktif melakukan pelbagai aktiviti banteras penularan demam denggi.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Tilapia, taman itu, Ahmad Jantan, berkata dia bersama ahli jawatankuasa KRT memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu pasukan Combi Taman menjayakan program yang disusun.
Kakitangan jabatan kesihatan turut mengedarkan risalah mengenai bahaya pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca demam denggi di tapak pasar malam itu.
Menurutnya, sokongan yang diberikan itu menarik perhatian KRT Jalan Seluang yang dipengerusikan Ihsan Yusof dan beberapa ahli jawatankuasa KRT lain untuk sama turun padang dalam aktiviti yang dilaksanakan sekitar tapak pasar malam serta taman berkenaan.
“Kami sepakat berasaskan misi ‘Taman bersih rakyat sehat’ supaya menjadi kenyataan dan dapat menjadi contoh kepada KRT atau ahli jawatankuasa penduduk di taman perumahan khasnya sekitar Banting,” katanya.
Sementara itu Azmi, berkata pada program di tapak pasar malam itu lebih 150 risalah mengenai bahaya nyamuk Aedes yang menjadi punca demam denggi di satu-satu kawasan terutama perumahan yang mempunyai kepadatan penduduk.
Menurutnya, di samping risalah pasukan Combi Taman turut mengedarkan ubat jentik-jentik untuk dimanfaatkan penduduk dengan memasukkannya ke dalam bekas atau tempat yang menakung air sebagai salah satu cara membasmi pembiakan nyamuk Aedes.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk sentiasa memberi perhatian sewajarnya terhadap pembersihan sekitar halaman rumah dengan menghapuskan barangan yang menjadi tempat air bertakung seperti tayar kenderaan, botol air, pasu bunga dan saluran longkang atau bumbung rumah.
Tambahnya, pada program di tapak pasar malam berkenaan ahli pasukan Combi Taman serta dibantu ahli jawatankuasa KRT turut memberi penerangan kepada penduduk yang hadir untuk membeli-belah mengenai langkah membenteras nyamuk Aedes.
Katanya, penduduk juga diberikan penerangan langkah keselamatan yang perlukan diambil apabila mengalami demam yang berlarutan supaya segera mendapatkan rawatan di hospital sebeluim keadaan menjadi lebih buruk.
“Dengan aktiviti yang dibuat, pengedaran risalah serta penghapusan tempat pembiakan nyamuk Aades, kami yakin program ini mencapai matlamat yang dikehendaki selain memastikan taman ini bebas daripada nyamuk Aedes.
“Kami juga akan memberi kerjasama kepada pelbagai pihak yang ingin mengadakan program penghapusan nyamuk Aades dan sekali gus dapat membendung wabak demam denggi dengan berkesan di taman ini,” katanya.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Amizar Abu Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil (PRK) bagi dewan undangan negeri (DUN) Pelangai.
Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis pengumuman calon BN di Dewan Majlis Daerah Bentong, sebentar tadi.
Amizar sebelum ini pernah bertanding di kerusi DUN Ketari pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.
DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi.
PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober ini ekoran kematian Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal.
Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahamd.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LIPIS – Tiga maut dalam kemalangan membabitkan bas ekspres terbabas di Kampung Kubang Rusa, dekat Merapoh, Lipis, awal pagi tadi.
Menurut laporan awal, bas ekspres dua tingkat dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke ibu negara terbabas dan melanggar pokok ketika keluar susur kampung berkenaan.
Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pusat gerakan operasi bomba Pahang menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 1.55 pagi.
“Sebanyak tiga jentera bersama 24 pegawai dan anggota bomba terbabit dalam operasi menyelamatkan mangsa.
“Mereka dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis yang dibantu pasukan dari (balai) Gua Musang, Kelantan serta anggota pasukan bomba sukarela Merapoh.
“Ketika kemalangan, terdapat 18 penumpang dan dua pemandu berada dalam bas ekspres terbabit,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Ismail memaklumkan tiga mangsa yang maut adalah dua penumpang dan seorang pemandu bas berkenaan.
Katanya, mereka yang maut adalah pemandu bas Ab Aziz Daud, 56 tahun dan dua penumpang, Mohd Syukri Mat Noor, 55 tahun dan seorang warga Bangladesh, Hossain Kamal berusia 41 tahun.
“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Lipis untuk tujuan bedah siasat manakala yang cedera pula dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan susulan,” katanya.- SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
JERANTUT – Lima belas buah rumah penduduk yang menghadapi masalah bekalan air di Kampung Kembir dan Kampung Tanah Pindah, Bukit Mat Daling dekat sini menarik nafas lega apabila PAS Kawasan Jerantut mengambil langkah proaktif membina telaga tiub dan memasang paip poly baru-baru ini.
Sebelum ini, penduduk kampung tersebut menggunakan sumber air bukit daripada hutan berdekatan, tetapi setelah pembukaan ladang tanaman komersial milik sebuah anak syarikat kerajaan negeri, sumber air terjejas dan tidak dapat menampung keperluan penduduk di situ.
Paip poly dipasang secara bergotong royong untuk menyalurkan air ke 15 buah rumah di kawasan Kampung Mat Daling.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, Pejabat Perkhidmatan DUN tersebut telah membina dua buah telaga tiub menerusi sumbangan orang ramai berikutan masalah kekurangan bekalan air bersih di dua buah kampung itu.
“Sejak sumber air bukit terjejas dan tercemar, penduduk kampung ini cuma bergantung kepada air hujan dan sungai selama lebih 10 tahun sebelum telaga tiup dibina di sini.
“Kami terpaksa mendapatkan dana daripada orang ramai dan dermawan untuk menyalurkan bekalan ke 15 buah rumah yang terbabit,” katanya di Kampung Kembir, Ulu Tembeling dekat sini hari ini.
Katanya, sumbangan tersebut dapat dikumpul sejumlah RM9,000 untuk membeli paip poly bagi menyambung bekalan air ke rumah yang diperoleh daripada telaga tiub yang dibina secara bergotong-royong menerusi tenaga sukarelawan Jabatan Amal Malaysia.
“Paip poly baharu diperlukan bagi menggantikan paip lama ke Kampung Kembir yang menyalurkan bekalan ke sini, manakala Kampung Tanah Pindah masih kekal dengan peralatan lama.
“Bagaimanapun, projek telaga tiub dan paip poly merupakan kemudahan sementara bagi menunggu pembinaan yang sama daripada kerajaan negeri sebanyak RM5 juta yang telah diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah baru-baru ini,” katanya.
Katanya, sehingga ini proses reka bentuk serta mengenalpasti jajaran baharu untuk pemasangan paip menerusi peruntukan tersebut hasil permohonan pejabat PAS DUN Tahan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk pada Persidangan Dewan Undangan Negeri penggal lalu.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
1,000 penduduk Felda Jengka 24 sambut Hari Merdeka dan Malaysia
JERANTUT – Kira-kira 1,000 penduduk Felda Jengka 24 meraikan program sempena Sambutan Hari Merdeka dan hari Malaysia, pada Sabtu.
Ketua Peneroka itu, Razak Daud berkata, selain pertandingan memasang bendera sempena Hari Kebangsaan, turut diadakan sukaneka antara blok di Felda itu.
Katanya, sambutan itu mendapat sambutan mengalakan dan Kerjasama antara penduduk, Majlis Belia Felda Malaysia, GPW, pengurusan Felda, ketua-ketua blok, semua ahli blok yang turut menjayakan program yang diadakan.
Penyelaras DUn Damak, Hari Salleh (2 dari kiri) dan Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud (kanan) .
“Paling melucukan acara sukaneka menjala di atas padang kerana ramai yang tidak mahir menjala dan terdapat jala tidak kembang dan tidak dapat ‘menangkap’ buah pinang.
“Namun, penyertaan semua penduduk di Jengka 24 berjaya menyatukan penduduk dan ikatan kekelurgaan yang erat,” katanya.
Katanya, selain itu tayangan wayang pacak filem Mat Kilau turut diadakan dan menggembalikan kenangan peneroka di awal penyertaan mereka ke Felda tersebut.
Sementara itu, Blok 9 menjuarai memasang bendera terbaik, manakala, tempat kedua dimenangi Blok 3 dan tempat ketiga Blok 4
Acara sukaneka acara tarik tali lelaki, dimenangi Blok 3 dan 4, naib johan dimenangi Blok 13 dan 14, tempat ketiga jatuh kepada Blok 7 dan 8.
Acara tarik tali wanita tidak kurang hebat dan turut dimenangi Kumpulan Wanita Blok 3,4 dan 11, tempat kedua pula dimenangi Blok 7, 8 dan 9 dan tempat ketiga dimenangi Blok 2, 5 dan 6.
Selain acara bolasepak, pentaque, lari 400 meter lelaki dan wanita termasuk acara kanak-kanak seperti melukis, pakaian beragam, hiasan basikal, tiup belon dan rebut gula-gula turut diadakan.
Penutupan rasmi program sukaneka disempurnakan oleh Penyelaras Dun Damak, haris Salleh Hamzah.–SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Kompaun letak kereta RM10, cukai tanah tertunggak dikecualikan denda
JERANTUT – Majlis Daerah Jerantut menawarkan harga runtuh pengurangan kadar kompaun meletak kenderaan kepada RM10.00 sahaja bagi setiap kesalahan sempena Karnival Tanah Peringkat Daerah Jerantut Tahun 2023.
Kadar kompaun yang dikenakan adalah RM100 tetapi hanya dikenakan adalah RM10 sahaja pada 21 September ini.
Prasyarat kelayakan mendapatkan kadar kompaun yang istimewa ini adalah pemohon perlu mengemukakan bukti pembayaran cukai tanah dan cukai taksiran tanpa tunggakan.
Karnival Tanah Peringkat Daerah Jerantut Tahun 2023 diadakan pada 21 September 2023 (Khamis) bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, bertempat di Dewan Utama, Majlis Daerah Jerantut.
Selain itu, kerajaan negeri Pahang turut berbesar hati mengecualikan denda lewat kepada pemilik-pemilik tanah yang mempunyai cukai yang tertunggak. Insentif pengecualian denda lewat ini bermula pada 22 Julai 2023 sehingga 16 Oktober 2023.
Karnival ini juga adalah sebahagian daripada libat urus kerajaan negeri Pahang dalam memberikan advokasi kepada penduduk Jerantut berkaitan isu-isu pengurusan tanah.
Beberapa sesi taklimat akan diadakan melibatkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang, Unit Pembahagian Pusaka, Pejabat JKPTG Pahang dan Unit Penguatkuasaan Bersepadu Negeri Pahang yang akan disampaikan oleh pakar dalam bidang masing-masing.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung seperti Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani selain pameran agensi kerajaan dan korporat serta gerai jualan.
Oleh itu orang ramai dijemput hadir dan rebut peluang mendapatkan pengurangan kompaun letak kereta dan pengecualian denda lewat Cukai Tanah.
Karnival Tanah Pahang Peringkat Daerah Jerantut 2023, bertemakan, “Syukuri nikmat, laksana tanggungjawab, jelaskan cukai tanah anda”.-SAHIH.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!