Kebangkitan Pemuda Felda Jengka 24, UMNO sasar rampas semula DUN Pulau Tawar
Kebangkitan Pemuda Felda Jengka 24, UMNO sasar rampas semula DUN Pulau Tawar
JERANTUT: Kebangkitan anak muda Felda Jengka 24 dilihat semakin tersusun apabila seramai 40 ahli Pemuda UMNO hadir dalam Persidangan Pemuda UMNO Cawangan Felda Jengka 24, baru-baru ini, sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Mesyuarat itu dipengerusikan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Jengka 24, Mohd Firdaus Atib, yang menekankan keperluan memperkukuhkan gerak kerja akar umbi khususnya dalam kalangan pengundi muda.
Ketua UMNO Cawangan Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, beliau menyeru golongan muda supaya kembali memberi kepercayaan kepada UMNO bagi merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar yang disifatkan amat penting dalam mengembalikan kekuatan parti.

“Saya percaya dengan semangat yang tinggi dan sokongan semua, kita mampu menebus kekalahan pada PRU-15 lalu,” katanya ketika berucap pada persidangan berkenaan.
Dalam pada itu, Razak berkata, Pemuda UMNO turut mengemukakan beberapa tuntutan yang perlu diselesaikan sebelum PRU-16 termasuk kelulusan segera isu tapak tanah (STR), pembinaan padang bola, penyediaan dewan terbuka serta pembinaan tandas masjid.
Menurutnya, perkara itu pernah diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dua tahun lalu ketika program penyerahan geran hak milik kepada peneroka Felda Jengka 24 pada 2024.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Haji Mohd Izzat Illzam Rosidi berkata, sokongan golongan muda amat diperlukan kerana mereka adalah penentu kemenangan pada pilihan raya.

Beliau turut berharap pemimpin tertinggi parti lebih kerap turun padang menyantuni anak muda melalui program yang selari dengan kehendak mereka.
Persidangan itu turut dihadiri Ketua Puteri UMNO Cawangan Felda Jengka 24, Norfazliza Mohd Nadzran dan Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Jengka 24, Rogayah said – SAHIH
