SMK Felda Jengka 24 santuni pemergian dua pelajar, hargai pasukan SAR
SMK Felda Jengka 24 santuni pemergian dua pelajar, hargai pasukan SAR
JERANTUT – Pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Jengka 24 dekat sini menganjurkan majlis bacaan Yasin dan tahlil khas sebagai tanda penghormatan buat dua pelajarnya yang meninggal dunia akibat lemas di Sungai Pahang, awal bulan lalu.
Dalam majlis berkenaan, pihak sekolah turut menyampaikan surat penghargaan kepada semua pihak yang terlibat membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sehingga kedua-dua mayat ditemukan.
Dua pelajar terbabit ialah Muhammad Amirul Ashraf Abdullah dan Muhammad Danial Haikal Shamsudin, masing-masing berusia 14 tahun, yang dilaporkan lemas dalam kejadian pada 3 April lalu.
Pengetua SMK Felda Jengka 24, Mahadi Mahmood menyampaikan surat penghargaan kepada wakil agensi keselamatan serta penduduk kampung yang membantu sepanjang operasi SAR dijalankan.
Antara penerima penghargaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Nikmat dan Kampung Durian Hijau, selain Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud.

Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jerantut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurut sumber, operasi SAR membabitkan pelbagai agensi serta penduduk setempat yang digerakkan sejurus kejadian dilaporkan.
Mayat Muhammad Danial Haikal ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang, manakala mayat Muhammad Amirul Ashraf pula dijumpai pada jarak kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir dilihat.
Majlis itu turut disertai warga sekolah dan komuniti setempat sebagai tanda solidariti serta sokongan moral kepada keluarga mangsa yang masih dalam suasana berkabung.
Pihak sekolah turut merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu memudahkan urusan pencarian dan pengurusan jenazah kedua-dua pelajar berkenaan.-SAHIH
