NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 meriahkan ekonomi komuniti
NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 meriahkan ekonomi komuniti
KANGAR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bakal menganjurkan program NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 bermula 1 hingga 3 Mei ini di Pasar Terapung JPS, di sini, bagi memperkukuh jaringan ekonomi koperasi, komuniti dan usahawan tempatan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, program selama tiga hari itu menjadi platform strategik untuk aktiviti jualan, promosi produk serta padanan perniagaan yang lebih meluas melibatkan koperasi dan pemain industri dari dalam serta luar negara.
Menurutnya, penganjuran NAT Antarabangsa itu dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat khususnya di Perlis dengan penyertaan koperasi, usahawan mikro kecil dan sederhana (PMKS) serta agensi kerajaan.
Katanya, sebanyak 50 pempamer koperasi akan mengambil bahagian dengan menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk makanan dan minuman, barangan keperluan asas, hasil pertanian serta perkhidmatan inovatif.
“Penganjuran ini menyediakan ruang komprehensif kepada koperasi memasarkan produk secara terus kepada pengguna selain membuka peluang jaringan perniagaan antara koperasi dan rakan strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hari pertama program akan menyaksikan jualan produk NAT dan Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan pada harga berpatutan selain pertandingan mewarna.
Pada 2 Mei pula, pengunjung berpeluang menikmati Pasar Tani Terapung FAMA serta program Puisi Nusantara dan persembahan gendang.
Kemuncak penganjuran pada 3 Mei menampilkan Wacana NAT Antarabangsa: Cabaran dan Masa Depan yang akan dirasmikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Abu Bakar Hamzah.
Majlis perasmian rasmi NAT Antarabangsa itu pula akan disempurnakan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada sebelah malam, selain peluncuran platform Malaysia Halal Marketplace dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU).
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program berkenaan sepanjang penganjuran.-SAHIH
