NEW YORK ISYTIHAR BEBAS LOCKDOWN
NEW YORK ISYTIHAR BEBAS LOCKDOWN
NEW YORK – New York mengisytiharkan hari ‘kebebasan’ kelmarin selepas Gabenor, Andrew Cuomo mengumumkan pemansuhan semua sekatan Covid-19 di negeri berkenaan, lapor akhbar Times of India.
Cuomo mengisytiharkan berita baik itu selepas lebih 70 peratus populasi New York telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19.
Menurut Cuomo, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik buat penduduknya.
“Kami akan terus menggalakkan penduduk New York untuk mendapatkan vaksinasi,” katanya.
Bersempena pengisytiharan itu, sebanyak 13 bangunan mercu tanda di New York dinyalakan dengan lampu berwarna biru dan emas pada malam Selasa lepas.
Manakala penduduk di 10 kawasan di sekitar bandar itu turut berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api.
Sementara itu, antara peraturan Covid-19 yang dimansuhkan adalah berkaitan sosial dan komersial.
Ia termasuk individu yang telah divaksin tidak perlu lagi mengamalkan penjarakan fizikal dua meter dan memakai pelitup muka.
Bagaimanapun, mereka yang belum divaksin masih perlu patuh kepada peraturan tersebut.
Selain itu, mereka juga perlu menunjukkan bukti keputusan negatif ujian Covid-19 terkini sekiranya ingin menghadiri sesuatu majlis, lapor Agensi.
Selain New York, negeri-negeri lain di Amerika Syarikat juga dilaporkan bakal mengambil langkah serupa susulan penurunan kadar jangkitan Covid-19 serta progres program vaksinasi.