NEGARA PALESTIN MERDEKA PERLU DITUBUHKAN SEGERA
NEGARA PALESTIN MERDEKA PERLU DITUBUHKAN SEGERA
PHILADELPHIA: Badan antarabangsa perlu menangani konflik Israel-Palestin dengan menghentikan penjajahan Israel dan memastikan penubuhan negara Palestin.
Perkara itu ditegaskan oleh Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour dalam fasa seterusnya yang perlu diambil tindakan oleh badan dunia.
Jelasnya, usaha PBB terhadap Palestin tahun ini dilaksanakan menerusi tiga fasa berbeza seperti dijelaskan kepada Arab News.
“Fasa pertama adalah persiapan untuk persidangan antarabangsa berdasarkan gesaan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas,” katanya.
Menurut Mansour, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov memainkan peranan penting bagi fasa itu merangkumi kebangkitan semua Kuartet Asia Barat yang tidak aktif seperti Rusia, Amerika Syarikat, PBB dan Kesatuan Eropah serta pihak lain.
“Kami melihat kebangkitan semula Kuartet dan penciptaan ‘Quartet-plus’ yang merangkumi negara-negara Arab dan antarabangsa yang penting.
“Quartet-plus cuba untuk menyelesaikan halangan di Baitulmuqaddis semasa pilihan raya di Palestin,” katanya.
Pilihan Raya Palestin pertama diadakan setelah tempoh 15 tahun, 22 Mei lalu.
Namun, pelaksanaan itu tergugat akibat timbul kebimbangan sama ada tentera Israel akan membenarkan penduduk Palestin keluar mengundi di bandar itu.
“Dalam satu-satu masa, seramai sembilan menteri luar menghadiri dan bercakap kepada Majlis Keselamatan PBB mengenai isu Palestin,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, fasa kedua adalah PBB perlu memastikan penduduk Palestin di Baitulmuqaddis dibenarkan mengundi.
Fasa ketiga pula katanya, bermula sejak April semasa bulan Ramadan dan berterusan sehingga gencatan senjata selepas 11 hari pertempuran antara pejuang Hamas dan Zionis Israel bulan ini.
“Kami mahu gencatan senjata selama-lamanya, kami mahu bantuan kemanusiaan yang serius melibatkan semua agensi PBB dan Israel tidak meletakkan sebarang halangan,lapor AFP.
“Akhir sekali, kami ingin memastikan usaha segera dan serius dilakukan dalam menamatkan penjajahan Israel dan ke arah mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” jelasnya.