Murid bersemangat masuk sekolah sesi penggal ketiga
Murid bersemangat masuk sekolah sesi penggal ketiga
Foto atas: Bapa menghantar anaknya ke sekolah untuk memulakan sesi penggal ketiga 2021-2022 selepas operasi persekolahan sering terganggu dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan musibah banjir yang melanda negara termasuk di kawasan Kampung Bantal, baru –baru ini.
JERANTUT – Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling teruja dan bersemangat untuk memulakan sesi penggal ketiga 2021-2022 selepas operasi persekolahan sering terganggu dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan musibah banjir yang melanda negara termasuk di kawasan Kampung Bantal, baru –baru ini.
Sekolah itu terdiri daripada 50 orang murid Melayu, manakala 20 orang lagi daripada Orang Asli etnik Bateq telah disambut oleh Guru Besar, Abd. Manaf Mat bersama seramai 17 orang guru di pintu pagar masuk perkarangan sekolah dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), dan saringan suhu badan.
Walaupun keadaan cuaca masih tidak menentu berikutan angin monsun luruan belum berpenghujung namun seramai 70 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling, pedalaman daerah ini melangkah masuk ke kawasan sekolah dengan penuh semangat untuk menuntut ilmu.
SK Ulu Tembeling yang terletak di Kampung Bantal, sebuah penempatan Melayu pesisir Sungai Tembeling terletak kira-kira 130 kilometer dari bandar Jerantut yang terlibat dengan bencana banjir bermula 17 Disember 2021 dan berulang semula pada 1 Januari 2022.
Namun pesekitaran sekolah tersebut selamat tanpa dinaiki air Sungai Tembeling berikutan kedudukannya di tempat yang tinggi berbanding sebilangan rumah penduduk dan kedai kopi terletak di pesisir sungai tersebut dilimpahi air baru-baru ini.
Kata Abd. Manaf, beliau bersama guru sudah bersedia di pintu pagar sekolah pada jam 7.00 pagi hari ini (semalam) untuk menyambut kedatangan murid yang dihantar oleh penjaga masing-masing, manakala murid Orang Asli etnik Bateq yang tinggal di Kampung Sungai Kucing menaiki bot penambang dalam perjalanan kira-kira 20 minit.
“Fenomena bencana banjir dan limpahan air Sungai Tembeling pada penhujung tahun lalu dan awal tahun ini tidak memberi kesan kepada murid malahan mereka sangat gembira dan bersemangat untuk belajar bersemuka dengan guru di sini.
“Guru di sini bersyukur kerana murid mempunyai kelengkapan belajar yang mencukupi, ada berpakaian seragam dan beg sekolah baharu malahan tidak ada seorang pun dilaporkan mengalami kerosakan buku teks akibat banjir baru-baru ini,” katanya di Kampung Bantal dekat sini hari ini.
Menurut Abd. Manaf, guru dan kakitangan sekolah yang bercuti di luar pulang ke kampung kembali semula ke sekolah seminggu lebih awal untuk membuat persiapan sesi persekolahan hari ini.
Sementara itu, penduduk Kampung Bantal, Abdullah Khalib berkata, keadaan cuaca di Ulu Tembeling sejak dua hari lalu cerah dan memberi keselesaan penduduk keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah.
“Anak anak saya bangun awal pagi hari ini dan rindu untuk bersua muka dengan guru di sekolah dan kalangan ibu bapa serta penjaga di sini sangat mengharapkan mereka (anak) mengikuti pembelajaran yang sempurna di kelas setelah melalui tempoh ‘cuti’ yang panjang tahun lalu berikutan penularan pandemik Covid-19,” katanya.-SAHIH