MASIH ADA WARIS TOLAK VAKSIN DITAWARKAN KEPADA WARGA EMAS
MASIH ADA WARIS TOLAK VAKSIN DITAWARKAN KEPADA WARGA EMAS
KUANTAN: Tindakan segelintir penjaga dan waris menolak vaksin ditawarkan kepada warga emas masih berlaku dan sangat dikesali.
Pegawai Kesihatan Keluarga Daerah Kuantan, Dr Rashidah Abdul Rahman berkata, tindakan ini bakal memberi kesan terhadap usaha kerajaan mencapai sasaran imuniti berkelompok menjelang hujung tahun ini.
“Memang ada waris yang tidak bersetuju dan menolak vaksin yang ditawarkan kepada warga emas dan perkara ini berlaku kerana mereka mendapat maklumat tidak betul mengenai vaksin.
Pegawai Kesihatan Keluarga Daerah Kuantan, Dr Rashidah Abdul Rahman
“Kebiasaannya antara alasan mereka menolak ialah disebabkan takut dengan kesan sampingan kerana mendengar cerita tidak tepat dan saya nasihatkan, mereka dapatkan maklumat yang betul daripada pihak yang mempunyai pengetahuan,” katanya.
Beliau ditemui ketika program suntikan vaksin dos kedua kepada penghuni Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), dekat sini, hari ini.
Seramai 30 penghuni kompleks berkenaan menerima dos kedua vaksin jenis Pfizer, selepas suntikan dos pertama pada 3 Mei lalu.
Dr Rashidah yang juga Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) daerah berkata, secara keseluruhan, seramai 254 penghuni warga emas yang ditempatkan di rumah jagaan orang tua dijangka melengkapkan dua dos vaksin mereka hari ini.
Selain warga emas, unit vaksinasi bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan turut melakukan proses suntikan vaksin kepada penghuni rumah jagaan orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, seorang penghuni, Syed Ahmad Syed Zin, 78, berkata tidak ada kesan sampingan dialaminya selepas suntikan dos pertama awal Mei lalu.
“Setakat demam sikit itu, biasalah… lagi pun kita sudah berusia, selalu juga demam. Namun, kalau kesan (sampingan) lain, memang tidak ada,” katanya.
Ketika ditanya sama ada dia merasa takut untuk menerima suntikan vaksin, Syed Ahmad berkata, pada awalnya memang dia rasa bimbang selepas membaca pelbagai cerita mengenai kesan selepas menerima vaksin.
“Banyak juga cerita dikongsi dalam kumpulan WhatsApp, mula-mulanya saya bimbang juga, tapi lepas dapat penjelasan, saya sangat yakin bahawa inilah yang terbaik untuk kita semua,” katanya yang menyambut hari lahir semalam.-SAHIH