PRO CANSELOR UiTM MENINGGAL DUNIA
Mantan Ketua Pengarah Pendidikan dan juga Pro Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Abdul Rahman Arshad meninggal dunia awal pagi tadi, pada usia 84 tahun.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang, Selangor sebelum dibawa ke kampung halaman Allahyarham di Kampung Air Limau, Masjid Tanah, Melaka untuk disemadikan.
Allahyarham mendapat pendidikan awal di Melaka sebelum melanjutkan pelajaran di University Malaya, kemudian menyambung pelajaran di University of Singapore, University of Reading, New Zealand Administrative Staff College, Harvard Business School dan akhir sekali mengambil ijazah kedoktoran (PhD) di University of East London.
Abdul Rahman memulakan karier sebagai guru di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pelajaran di Pulau Pinang dan Kedah, sebelum menjawat jawatan Pengarah Pelajaran Kelantan.
Dari Kelantan dia meneruskan karier di Kementerian Pelajaran sebagai Pengarah Pemeriksaan sebelum menjadi Pengarah Perancangan Pendidikan dan Penyelidikan, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran dan akhirnya sebagai Ketua Setiausaha sebelum bersara pada 1991.