LEMARI REZEKI JERANTUT DIBATALKAN KERANA DISERBU DAN GAGAL SOP
LEMARI REZEKI JERANTUT DIBATALKAN KERANA DISERBU DAN GAGAL SOP
JERANTUT: Hari ketiga program Lemari Rezeki Jerantut diserbu hampir 300 orang sehingga dibatalkan oleh pihak polis kerana terdapat segelintir yang hadir gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas diarahkan oleh pihak urusetia yang diadakan di Astaka Taman I-City Jerantut, petang ini.
Penyelaras program, Datuk Ridzuan Mansor yang berada di situ dan dibantu oleh pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jerantut mengambil keputusan membatalkan agihan bantuan bakul makanan yang disediakan kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Hari ini, hari ketiga, sebelum ini berjalan lancar, tetapi pada hari ini mungkin sudah sampai ke pengetahuan orang ramai, maka semakin ramai berpusu tanpa menjaga penjarakan fizikal dan petugas kami gagal mengawal selepas mengarah orang ramai mematuhi SOP dan terpaksa memanggil bantuan anggota polis.
“Bantuan ini sebanyak 150 bakul makanan untuk diagihkan setiap hari, adalah sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO), peniaga dan orang ramai yang prihatin dengan anggota masyarakat yang terkesan dengan wabak yang melanda dunia ketika ini,”katanya.
Program itu di bawah urusetia Majlis Daerah Jerantut (MDJ), digerakkan oleh sukarelawan dan kakitangan MDJ sendiri.
Katanya, diharap kepada mereka yang betul terkesan dialukan untuk menerima sumbangan berbentuk makanan keperluan harian dan makanan asas lain, mohon yang hadir hanya satu orang setiap keluarga.
“Saya sangat sedih program ini dibatalkan pada hari ini kerana mendapat arahan daripada pihak polis kerana ada segelintir yang hadir tidak menjaga jarak masing-masing, malah ada yang datang dalam sebuah kereta melebihi seorang, pastinya melanggar SOP di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bandar Jerantut.
“Pihak kami sedang memikirkan mekanisma lain untuk mengagih bantuan yang berbentuk ‘food bank’, iaitu mengambil barang yang diperlukan sahaja, tetapi berlaku sebaliknya kerana pihak kami mengenal pasti terdapat yang hadir setiap hari untuk menerima bantuan,” katanya.-SAHIH.