KGMMB mohon semakan elaun perjalanan guru
KGMMB mohon semakan elaun perjalanan guru
JERANTUT – Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menggesa kerajaan mengkaji semula kadar elaun perjalanan bagi guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan yang menjalankan tugas rasmi di luar kawasan, susulan peningkatan kos semasa.

Mohd Sobri Yusof
Presidennya, Mohd Sobri Yusof berkata, ketidaktentuan harga bahan api akibat krisis tenaga global yang dipengaruhi konflik di Timur Tengah memberi kesan langsung kepada perbelanjaan perjalanan, termasuk di negara ini.
Menurutnya, ramai guru terlibat dengan pelbagai tugasan luar seperti mengiringi murid ke program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta program di peringkat kebangsaan.
“Ada juga guru yang perlu menghadiri bengkel, mesyuarat dan kursus serta lain-lain program yang diarahkan.
” Semua ini adalah tugas rasmi yang wajib dipatuhi, malah ada yang melibatkan perjalanan jauh,” katanya ketika dihubungi
Beliau menjelaskan, kebanyakan guru menggunakan kenderaan sendiri dan bergantung kepada kuota subsidi bahan api RON95, yang kini dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.
“Pada masa ini, kadar tuntutan perjalanan bagi 500 kilometer pertama adalah 90 sen sekilometer, manakala 500 kilometer kedua dibayar sebanyak 80 sen,
“Sehubungan itu, kami berharap kadar ini dapat disemak dan dinaikkan secara munasabah bagi mengimbangi peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Tambahnya, isu berkenaan bukan sahaja melibatkan guru, malah turut memberi kesan kepada pegawai di PPD, JPN, kementerian serta pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) yang menjalankan pemantauan pelajar latihan mengajar di sekolah.
Katanya, dikhuatiri kuota bahan api tidak mencukupi hingga hujung bulan, memaksa mereka membeli petrol RON95 tanpa subsidi.
“Justeru, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan semakan semula kadar elaun perjalanan demi menjaga kebajikan warga pendidik,” katanya.- SAHIH.
