Laluan Lumut ,Seri Iskandar dinaiki air banjir kilat
Laluan Lumut ,Seri Iskandar dinaiki air banjir kilat
PARIT- Limpahan air menuruni bukit ekoran hujan lebat menyebabkan laluan Lebuhraya Ipoh Lumut berhadapan Rancangan Perumahan Awam (RPA) Changkat Sodang di sini dinaiki air kira-kira dua meter.
Kejadian menyebabkan laluan menghala ke Lumut tidak boleh dilalui kenderaan hingga berlaku kesesakan lalulintas lebih dua kilometer (km).
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, hujan lebat mengakibatkan banjir kilat hingga air dari kawasan perumahan di atas bukit berhampiran melimpah ke jalan.
Menurut beliau, hanya laluan ke Lumut dipenuhi air manakala laluan menghala ke Seri Iskandar masih boleh dilalui kenderaan dan anggota polis telah diarah mengawal lalu lintas.
“Kejadian berlaku sekitar pukul 5 petang di hadapan RPA Changkat Sodang arah Lumut dan laluan ke Seri Iskandar tidak terlibat.
“Arah ke Seri Iskandar dijadikan dua arah iaitu laluan kontra serta ada anggota trafik mengawal lalu lintas,” katanya ketika dihubungi di sini,lapor kosmo online
Bagaimana pun katanya, kenderaan sudah mula bergerak selepas laluan dua arah dibuka dan lalu lintas terkawal setakat ini.