Laluan CSR Lipis – Merapoh bersampah, penduduk kecewa
Laluan CSR Lipis – Merapoh bersampah, penduduk kecewa
LIPIS – Sikap segelintir pengguna jalan raya di laluan utama Central Spine Road (CSR), Jalan Lipis ke Merapoh sewajarnya lebih bertanggungjawab tidak membuang sampah sarap di tepi sepanjang laluan itu bagi memastikan tahap pemikiran siviks rakyat Malaysia terus dihormati.
Keadaan ini berlaku di laluan itu yang dibanjiri kenderaan dari Lembah Klang untuk pulang berhari raya ke pantai timur sejak bermula cuti hujung minggu dan bersambung dengan cuti Aidil Fitri.
Ramai perantau melalui laluan tersebut pulang ke kampung di Kelantan dan kawasan berdekatan membuang sampah dari tingkap kenderaan atau yang berhenti rehat di kawasan tertentu di tepi jalan tersebut.
Keadaan laluan yang dipenuhi sampah-sarap boleh dilihat sehingga hari ini berdekatan Kampung Kechau, Kampung Relong dan persimpangan Chegar Perah yang dipenuhi plastik bungkusan makanan, polisterin, kotak minuman dan sebagainya sehingga ada sisa makanan dihurungi langau.
Penduduk Kampung Relong, Amran Sulaiman, 56, berkata, sikap yang ditunjukkan oleh segelintir pengguna jalan raya amat mengecewakan penduduk kerana tidak bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati sehingga mengubah landskap tercemar dengan kekotoran di sepanjang laluan tersebut.
“Sejak cuti sebelum hari raya, ramai perantau berkenderaan pulang berhari raya ke negeri Kelantan dan kawasan berdekatan sehingga sewenang-wenangnya membuang sampah di sepanjang laluan ini terutamanya berdekatan dengan Kampung Kechau dan Ladang Selborne yang berdekatan dengan laluan CSR.
“Menjelang Hari Raya Aidilfitri pemandangan kawasan laluan ini mulai berubah apabila dipenuhi sampap-sarap dan lagi menyesakkan mata memandang,” katanya di Kampung Relong dekat sini hari ini.
Penduduk Kampung Kechau, Ismail Rahman, 45, berkata, mereka sudah menjangka senario yang sama akan berulang setiap kali menjelang dan selepas Aidilfitri kerana ramai perantau pulang ke Kelantan dan pantai timur serta kembali ke tempat kerja selepas itu.
“Saya tidak berniat menyalahkan pengguna yang berulang alik di laluan CSR ini dan cuma beranggapan segelintir sahaja daripda mereka yang membuang sampah. Seeloknya ubahlah sikap lebih positif dan sayangkan kemudahan ini dengan amalan menjaga kebersihan.
“Sikap memalukan ini turut terpalit kepada penduduk di sini juga menggunakan laluan CSR sejak dibuka lima tahun lalu berulang-alik ke Merapoh dan Gua Musang termasuk penduduk di sana (Merapoh) keluar untuk ke bandar Kuala Lipis dan kecewa melihat pemandangan yang tidak menyenangkan dengan sampah-sarap di tepi jalan ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berharap pengguna laluan CSR Lipis – Merapoh wajar menjaga kebersihan sepertimana jalan raya dan lebuh raya di negeri lain.
“Walaupun selepas hari raya ini, laluan ini akan dibersihkan oleh pekerja kebersihan dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan, tetapi sikap kebertanggungjawaban dan mengutamakan nilai kebersihan merupakan amalan Islam amat ditagih supaya laluan ini sentiasa bersih serta ceria tanpa sampah,” katanya.-SAHIH.