KERJASAMA STRATEGIK DITERUSKAN
KERJASAMA STRATEGIK DITERUSKAN
BERA: Kunjungan pegawai kebajikan daerah ke Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, dekat sini, baru-baru ini adalah sebahagian usaha meneruskan tradisi hubungan rapat antara pihak pengurusan dan agensi kerajaan berkenaan.
Pengerusi Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang, Yap Yoke Mey berkata, kehadiran pegawai kebajikan daerah yang baharu, Murni Azraniza Umar disambut baik pihak pengurusan dan penghuni rumah kebajikan itu.
PEGAWAI KEBAJIKAN MASYARAKAT DAERAH BERA, MURNI AZRANIZA UMAR (TIGA DARI KIRI) MENGUNJUNGI RUMAH KEBAJIKAN WARGA EMAS SANG RIANG BARU-BARU INI
“Sudah pasti kunjungan Puan Murni Azraniza menyuntik semangat kami untuk terus memberikan khidmat terbaik bagi penghuni di sini.
“Ia juga menjadi simbolik kepada hubungan dan kerjasama rapat antara kami dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang yang sedia terjalin sekian lama.
“Kami harap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan semua perancangan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.
Turut menyertai Murni Azraniza dalam kunjungan itu adalah Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah, Abdul Halim Rabu dan Wan Nuzuffa Wan Daud.
Yoke Mey berkata, JKM Daerah Bera sangat membantu pihak pengurusan rumah kebajikan itu, termasuk mempermudahkan proses pembaharuan lesen dan penempatan warga emas sebatang kara ke rumah orang tua yang bersesuaian.
Katanya, hubungan baik sejak 18 tahun antara Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang dan JKM banyak membantu perkembangan rumah kebajikan berkenaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan selesa kepada semua penghuni.