Kerinduan terhadap ‘Long Nan’ terubat
Kerinduan terhadap ‘Long Nan’ terubat
BENTONG – Suasana sambutan Aidilfitri tahun ini tambah bererti apabila pimpinan UMNO Bahagian Bentong dapat bersua muka dengan bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob.
Bekas ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pelangai itu meluangkan masa menghadiri sambutan Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Bentong di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Bentong, baru-baru ini.
Penampilan Adnan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Long Nan’ pada majlis itu disambut oleh pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh dan ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.
Amizar melalui perkongsian di laman sosial Facebook miliknya mengakui kehadiran ‘Long Nan’ sangat dinantikan oleh semua ahli UMNO Bahagian Bentong.
“Kehadiran tetamu paling istimewa, YBhg Tan Sri Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob, mantan Menteri Besar Pahang, mantan ADUN Pelangai menambahkan lagi seri dan meriah majlis.
“Ramai orang Bentong yang rindukan Tan Sri Long Nan… Alhamdulillah, dapat bersua kembali dan bertanya khabar,” katanya.
Amizar yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohamad Zaini kerana sudi menjemputnya bagi menghadiri majlis berkenaan.
“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada YH Dato’ Sri Mohamad Zaini bin Salleh kerana sudi menjemput saya.
“Alhamdulillah, malam tadi cukup meriah… ramai tetamu yang hadir,” katanya lagi.- SAHIH