Kempen Kibar Jalur Gemilang Jengka 24 bermula
Kempen Kibar Jalur Gemilang Jengka 24 bermula
JERANTUT – Bagi memeriahkan sambutan Hari Merdeka tahun ini, warga peneroka FELDA Jengka 24, dekat sini, memulakan kempen Kibar Jalur Gemilang bermula hari ini.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, sebanyak kira-kira 6,000 bendera Jalur Gemilang akan dipasang di kawasan tanah rancangan itu.
“Tempoh kempen bermula hari ini hingga 16 September, bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.
“Penduduk juga sudah mula bergotong-royong mencari buluh untuk dijadikan tiang bendera.
“Jadi, kita jangka sambutan kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Razak turut memaklumkan terdapat beberapa kedai sekitar bandar Jerantut menjual Jalur Gemilang dan menasihatkan penduduk untuk membeli bendera bagi memeriahkan kempen dianjurkan pihak FELDA Jengka 24.
Katanya, antara lokasi menawarkan Jalur Gemilang pelbagai saiz adalah sekitar bandar Jerantut, bandar pusat Jengka dan bandar Temerloh.
“Kebanyakan premis menjual Jalur Gemilang sudah kekurangan stok susulan penduduk FELDA Jengka 24 keluar beramai-ramai membeli bendera untuk menghias kediaman mereka,” katanya lagi.
Dia berharap sambutan tahun ini akan dapat menanam sikap cintakan negara dalam kalangan generasi muda yang menetap di kawasan tanah rancangan itu. – SAHIH