GANGGUAN BEKALAN AIR KEMBALI PULIH
KAWASAN TERJEJAS AIR DI SELANGOR KEMBALI PULIH
KUALA SELANGOR: Bekalan air di tujuh wilayah DI Selangor yang terjejas berikutan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) sejak 8 Disember lalu, stabil sepenuhnya pada 3 pagi tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, ia membabitkan sebanyak 861 kawasan di wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
GAMBAR HIASAN
“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan kepada petugas barisan hadapan Air Selangor di semua wilayah yang terjejas.
“Dapatkan maklumat sahih hanya di medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya dalam hantaran di Facebook yang dipetik BH Online hari ini.
Media melaporkan empat LRA iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas dua hari lalu, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.
Ia susulan sisa kolam ternakan ikan keli yang tidak mempunyai Kebenaran Merancang (KM) dan beroperasi tanpa kebenaran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dipercayai menjadi punca pencemaran itu.