Jangan terpedaya individu yang mengaku keturunan Mat Kilau untuk mengambil kesempatan
Foto atas : Ismail Mat Kahar (kanan) bersama Ketua Kampung Masjid/Kedondong, Mohd. Rozi Rozuki di rumahnya di Kampung Bukit Rang, Jerantut, Pahang hari ini.
Jangan terpedaya individu yang mengaku keturunan Mat Kilau untuk mengambil kesempatan
AMIR HAMZAH NORDIN
JERANTUT – Filem Mat Kilau mengisahkan Kebangkitan Pahlawan Melayu merupakan filem biografi epik sejarah Malaysia 2022 arahan Syamsul Yusof dengan skrip oleh Syamsul dan Shahruddin Dali turut dibintangi oleh Datuk Adi Putra sebagai pelakon utama yang diilhamkan dari tokoh pahlawan Mat Kilau.
Namun, sejak film ini menjadi bualan umum di seluruh negara termasuk di Brunei Darussalam yang turut didebatkan oleh para youtuber Indonesia yang memuji perkisahan kepahlawanan Melayu bagi tatapan generasi muda.
Seorang cicit Pahlawan Melayu Mat Kilau itu, Ismail Mat Kahar, 60, turut berbangga dengan filem yang sedang ditayangkan itu yang mengisahkan tentang kepahlawanan moyangnya bagi membangkitkan semangat jatidiri dan mempertahankan agama, bangsa dan negara.
“Dalam bangga, saya turut berasa risau mengenai ada individu yang mula mengakui waris pahlawan itu sejak penerbitan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara.
“Ini maklumkan sendiri oleh Ketua Kampung Masjid/Kedondong, Mohd. Rozi Rozuki terdapat ramai individu dari Johor, Perak, Selangor malahan di Pahang sendiri menghubunginya sambil menyatakan mereka juga adalah susur galuh Mat Kilau.
Katanya, inilah yang membimbangkannya kerana ada pihak cuba mengambil kesempatan dan mencemarkan catatan sejarah perjuangan Mat Kilau sekiranya kemungkinan pengakuan palsu berlaku.
“Apabila ketua kampung, Mohd. Rozi mahu individu itu menyusun susur galuh yang diperkatakan ada kaitan dengan Mat Kilau, malangnya mereka gagal bercerita berkaitan dengan susur galih itu.
“Saya takut ada pihak yang mengambil kesempatan boleh mencemarkan catatan sejarah perjuangan Mat Kilau sekiranya kemungkinan berlaku,” katanya ditemui di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar dekat sini hari ini.
Ismail yang uzur akibat penyakit tekanan darah rendah dan kencing manis berkata, kebimbangan juga nanti melibatkan ada pihak yang cuba mengutip derma kononnya untuk amal kebajikan waris Mat Kilau atau sebarang tujuan lain yang tidak berkaitan langsung dengan pahlawan tersohor itu.
“Saya berdoa dan sambil berharap hal ini tidak akan berlaku dan sudahpun memberitahu waris terdekat di sini supaya berhati-hati sekiranya ada pihak yang datang mengakui waris Mat Kilau.
“Saya antara cicit Mat Kilau, tetapi saya insan biasa dan langsung tidak mahu ‘glamour’ namun cukuplah menghargai usaha pengarah dan penerbit filem tersebut kerana mengangkat Mat Kilau di persada masyarakat yang kini mula lupa dengan nilai sejarah perjuangan tokoh di tanahair ini,” katanya.-SAHIH.