Jangan pilih lagu AJL36 ikut sedap dengar dan rasa sebaliknya kaji dan analisa – Datuk Mokhzani
Jangan pilih lagu AJL36 ikut sedap dengar dan rasa sebaliknya kaji dan analisa – Datuk Mokhzani
Banyak sangat komen juri netizen yang pedas melalui media sosial berkaitan dengan 12 lagu yang terpilih ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL36) musim ke-36, yang telah dipertontonkan di peringkat separuh akhir yang disiarkan melalui stesen televisyen swasta (TV3) baru –baru ini.
Semi Final Muzik-Muzik 36 (SFMM36) itu mempertaruhkan 30 buah lagu yang merangkumi pelbagai genre muzik termasuklah balada, pop rock dan hip hop dan dinyanyikan oleh para penyanyi hebat tanah air.
Pemilihan 12 lagu ke peringkat akhir dipilih oleh juri profesional yang diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail di peringkat separuh akhir yang disiarkan secara langsung pada 31 Disember 2021 dan 1 Januari 2022.
Katanya, menjurikan lagu dendangan artis yang sudah lama berada dalam pasaran tidak begitu mudah sebab perbezaan antara juri netizen hanya mendengar dan meminati lagu dan artis, manakala, juri professional pula mendengar, mengkaji dan menganalisa sesuatu lagu itu.
“Juri profesional mengkaji struktur ciptaan dan kreativiti, lirik, susunan muzik ,impak dalam industri muzik dan seterusnya persembahan live di atas pentas menentukan lagu tersebut layak dipertimbangkan.
“AJL 36 kali ini, tujuh belas lagu balada mendominasi daripada 30 buah lagu yang disiarkan di peringkat separuh akhir,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mokhzani berkata, di peringkat separuh akhir, ciptaan balada dengan mud minor yang mendayu-dayu dengan nyanyian merintih cepat memberi kesan kepada pendengar.
“Bentuk (form) muzik lagu balada tiada beza dengan pendekatan pergerakan kord yang lazim digunakan, tetapi pada yg lebih kreatif penciptanya mampu membawa melodi keluar dari kebiasaan dengan extended chorus dan modulation.
“Kita seharusnya tidak lupa dengan kreativiti pencipta yang cuba keluar dari genre balada seperti traditional komtemporari, hip hop, pop rock, pop alternatif dan sebagainya,” katanya.
Katanya, penggiat seni muzik yang membawa kelainan dalam industri, jangan “bunuh” kreativiti mereka disebabkan ada segelitir peminat yang tidak berminat dengan genrenya atau tidak mememinati penyanyi yang membawa lagu tersebut.
“Sejarah awal AJL menyaksikan lagu melankolik sering mendominasikan status sebagai juara AJL tetapi sejak lagu genre hip hop “ Apa Kabar’ nyanyian Joe Flizzow dan SonaOne dinobatkan sebagai juara tahun AJL29 (2015) ia mula berubah landskap muzik tanahair.
Kemudian muncul lagu ‘Gila” dendangan Kaka Azraff, Loca B dan Noki dipilih untuk menjuarai AJL35 kerana komposernya berani membuat pembaharuan.
“Justeru, barisan juri akan memilih pemenang berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Lagu yang agak kompleks daripada sudut teknikal pembikinannya tetapi tidak mengetepikan aspek komersial seharusnya dipuji.
“Sebagai ketua juri separuh akhir AJL36, mengakui semua 30 lagu adalah terbaik dalam genre masing-masing tetapi perlu diingat semua genre perlu dengan kupasan yang terperinci dari segala sudut dan kriteria,” katanya.
Katanya, pemilihan 12 buah lagu dari 30 lagu ini menepati segala bentuk genre dan memberi pengikhtirafan dan keadilan saksama pada semua pencipta, setiap lagu telah memenuhi piawaian kualiti dan mempunyai impak dalam industri selain sebahagiannya membawa pembaharuan bentuk muzik baru yang dialu-alukan.
Mokhzani berkata, kepada pencipta irama tradisional etnik tiada salahnya menjadikan lagu-lagu rakyat sebagai inspirasi tetapi mengolahnya semula dengan elemen menarik seperti memasukkan hip hop dan gubahan moden adalah satu pembaharuan ke arah membawa lagu sedemikian berada dalam kelasnya yang tersendiri.-SAHIH.