Jalan Karak-Pelangai jadi keutamaan
Jalan Karak-Pelangai jadi keutamaan
BENTONG – Impian Allahyarham Datuk Seri Johari Harun untuk memastikan projek jalan utama Karak-Pelangai dilaksanakan bakal menjadi kenyataan.
Komitmen itu disuarakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika berucap di hadapan penduduk di Kampung Shafie, dekat Pelangai, petang tadi.
Berita gembira berkenaan dikongsi calon BN, Datuk Amizar Abu Adam melalui satu hantaran di laman sosial Facebook.
“Dalam perjalanan pulang dari kampung Orang Asli Sungai Bot, sempat singgah di padang bola Kampung Shafie.
“Ada sukan rakyat dan turut bersama saya ialah Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Exco Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
“Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kewangan menyatakan beliau komited dan bersetuju untuk membawa perancangan Allahyarham Datuk Seri Johari Harun perihal jalan Karak-Pelangai.
“Allahuakbar, Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya saya mendengar perkara tersebut.
“Bukan apa, idea tersebut juga telah disokong penuh oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai antara projek yang akan diberikan keutamaannya,” katanya dalam hantaran itu.
Amizar berkata, berita gembira itu sudah pasti disambut baik warga Pelangai dan bakal merancakkan kegiatan ekonomi di kawasan ini.- SAHIH