JALAN CENTRAL SPINE (CSR) AKAN JANA EKONOMI DI PAHANG BARAT
JALAN CENTRAL SPINE (CSR) AKAN JANA EKONOMI DI PAHANG BARAT
BENTONG : Pembukaaan Jalan Central Spine akan meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti pengguna ke Pantai Timur dan mampu menjana ekonomi kawasan Pahang Barat khusunya kepada sektor pelancongan dan industri kecil dan sederhana (IKS).
Jalan ini adalah salah satu infrasturktur dalam Pelan Pembangunan Jalan Raya 2030 (Highway Network Development Plan 2030) bagi memastikan wujud jaringan perhubungan jalan raya yang baik untuk kemudahan dan keselesaan rakyat.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jalan raya ini adalah salah satu projek berimpak tinggi yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan sehingga persimpangan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di Pahang sepanjang 308.8 kilometer dengan kos keseluruhan RM7.3 bilion.
Beliau berkata, sebahagian daripada subpakej 5C, antara Kampung Asap ke Kampung Sertik serta subpakej 5D yang melibatkan Bentong Bypass di Jalan Central Spine (CSR) di kawasan Mempaga, Bentong sejauh 28.5 KM boleh digunakan mulai hari ini.
“CSR ini turut melibatkan pembinaan ‘overpass’ di Kampung Lebu, 9 buah jambatan, 6 ‘vehicular box culvert (VBC), satu bulatan di Mempaga serta 2 persimpangan bertingkat di Lebuhraya Karak dan Kampung Benus.
“Siapnya CSR ini akan dapat memendekkan masa dan mempercepatkan perjalanan, serta memberi keselesaan kepada pengguna dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata demikian di Majlis Pembukaan Jalan Central Spine Jajaran Bentong Pakej 5 Raub ke Bentong, hari ini.
Katanya, selain itu, ia bakal meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat menerusi penyediaan infrastruktur berkualiti ke kawasan-kawasan terlibat.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Dr. Sallehuddin Ishak, serta beberapa Ahli Mesyuarat Negeri Pahang.
Katanya, lebuh raya 4-lorong 2-hala itu sebahagian daripada jalan tanpa tol sejauh 350 yang dapat menyuraikan kesesakan di Jalan Persekutuan FT08 sedia ada yang kerap berlaku kesesakan jalan raya setiap kali musim perayaan dan musim cuti sekolah khususnya di Bandar Bentong dan Raub.-SAHIH.