HARAP AHLI PARLIMEN GUNA PERUNTUKAN BANTU RAKYAT TERKESAN TERUK
HARAP AHLI PARLIMEN GUNA PERUNTUKAN BANTU RAKYAT TERKESAN TERUK
TEMERLOH: Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kome Cakna mahukan semua ahli parlimen yang menerima peruntukan sebanyak RM300,000 yang diluluskan oleh kerajaan pusat memberi bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan memberi bantuan bakul makanan dengan segera.
Pengerusinya, Jamil Yaakub berkata, wakil rakyat yang dipilih segera turun padang ke akar umbi untuk melihat kesukaran golongan yang terkesan kerana memerlukan bantuan bekalan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan melebihi sebulan.
“Kebanyakan yang terkesan adalah golongan yang bekerja dengan mendapat upah harian, peniaga kecil-kecilan serta ada yang telah diberhentikan kerja oleh majikan masing-masing.
“Dengan situasi yang sedang berlaku, ada yang mengadu tiada bekalan makanan atau terputus bekalan di rumah kerana tiada pendapatan untuk membeli barang keperluan,” katanya.
Katanya, diharap wakil rakyat sentiasa menyantuni dan membuka ruang untuk rakyat sekitar kawasan parlimen masing-masing untuk mengadu masalah mereka.
“Dengan bajet yang diluluskan oleh kerajaan pusat, ahli parlimen boleh membeli barangan keperluan untuk diagihkan kepada yang sangat memerlukan.
“Bantuan itu diharapkan diberikan kepada orang ramai tanpa memikirkan fahaman politik, kaum dan agama untuk disalurkan kepada yang terkesan semasa darurat pandemik ini,” katanya.
Katanya, terdapat beberapa kumpulan anggota masyarakat yang berkongsi sesama sendiri mengumpul dana untuk membeli barang keperluan dan dihantar ke rumah yang sudah terputus bekalan.-SAHIH.