HANYA SEJAM MELIHAT DUNIA
HANYA SEJAM MELIHAT DUNIA
SHAH ALAM : Seorang bayi perempuan meninggal dunia akibat COVID-19 selepas sejam dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Nur Firdina Anggun yang berusia 24 minggu itu dilahirkan ketika ibunya, Nur Fazwatina Md Haruji, 31, masih dalam tempoh kuarantin kerana positif COVID-19.
Bapa mangsa, Nur Firdaus Ab Rahim, 30, berkata, anak bongsu mereka itu menjadi antara korban termuda sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
Menurutnya, wabak COVID-19 tidak mengenal mangsa sama ada individu terbabit petugas barisan hadapan atau tidak sebaliknya menyerang manusia dengan kejam.
“Sebagai seorang anggota kereta peronda polis (MPV) saya selalu selesaikan masalah rakyat, kita tengok kejadian seperti ini berlaku hari-hari di depan mata.
“Apabila kena pada diri sendiri baharu kita tahu perasaan sebenar mangsa. Tidak kira kita polis atau doktor sekali pun COVID-19 ini tidak mengenal mangsa,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Lebih memilukan apabila isterinya masih menerima rawatan di HTAR, manakala lima anak mereka masih lagi dikuarantin di rumah.
Jenazah anak Nur Firdaus diuruskan dan dikebumikan oleh sukarelawan Unit Khas Van Jenazah di Tanah Perkuburan Selat Klang di Sungai Sireh dekat Klang pada Ahad.
Sementara itu, Bilal Unit Khas Van Jenazah, Mohd Raspapi Mohd Anuar, 29, berkata, ia merupakan pengalaman paling sukar dilupakan warga kerja unit sukarelawan itu.
Menurut Mohd Raspapi, ini kerana bayi perempuan tersebut merupakan jenazah termuda yang pernah diuruskan pihak Unit Khas Van Jenazah setakat ini.
“Kami berdoa supaya keluarganya tabah, diberi ganti yang lebih baik dan bayi tersebut dapat memberi syafaat kepada ibu bapanya,” katanya kepada Sinar Harian.