Gunting rambut percuma ringankan beban ibu bapa
Gunting rambut percuma ringankan beban ibu bapa
JERANTUT – Kira-kira 100 pelajar sekolah rendah di sekitar FELDA Jengka 24, di sini, menerima perkhidmatan gunting rambut percuma.
Program itu ditaja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKR), Gerakan Persatuan Wanita (GPW) dan Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) FELDA Wilayah Jengka.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, selain menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma, semua kanak-kanak terbabit menerima alat tulis percuma pada program berkenaan.
“Program ini adalah acara tahunan dan setiap kali sesi persekolahan yang baru akan bermula, memang kita akan anjur program dan aktiviti seumpama ini.
“Sudah tentu melalui program gunting rambut percuma, kita dapat membantu meringankan sedikit bebanan ditanggung ibu bapa.
“Kita harap semua yang mendapat manfaat melalui program ini akan dapat menumpukan kepada persediaan lain untuk anak mereka,” katanya.
Razak memberitahu, semua usaha dan tajaan itu adalah hasil pengurusan kewangan baik diamalkan pihak pengurusan FELDA Wilayah Jengka, terutamanya FELDA Jengka 24.- SAHIH