Gembira dan terharu bertemu semula guru Pendidikan Islam setelah 43 tahun
Foto atas : Cikgu Aisah (kiri) dan Razak Daud (kanan) bertemu setelah 43 tahun di sini, hari ini.
Gembira dan terharu bertemu semula guru Pendidikan Islam setelah 43 tahun
JERANTUT : Ketua Peneroka Felda Jengka 24 gembira dan terharu apabila bertemu bekas gurunya yang pernah mengajarnya ketika berusia 13 hingga 15 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau tawar, dekat sini.
Beliau, Razak Daud (63) tahun tergamam pada mulanya apabila bertemu gurunya, Aisah Sheikh Ali berusia 72 tahun di Majlis Kad Pahang Pride sumbangan Menteri Besar Pahang di Dewan Utama, Majlis Daerah Jerantut, pagi ini.
“Saya sangat terkejut apabila bertemu cikgu yang mengajar subjek Pendidikan Agama Islam di majlis ini, cikgu Aisah juga seorang warden asrama puteri ketika itu yang berasal dari Johor.
“Selama ini saya tidak menjangka cikgu Aisah menetap di Pulau Tawar, rupanya beliau berumah tangga dengan orang Pulau Tawar dan berkeluarga di sini,” katanya.
Razak berkata, hampir 43 tahun beliau ingatkan cikgu Aisah sudah balik kampung di Johor dan saya gembira dan bersyukur bertemu cikgu yang masih sihat walafiat.
“Ketika bertemu tadi, anak cikgu Aisah yang perkenalkan saya dengan ibunya, saya sendiri sudah lupa wajahnya, maklumlah hampir 43 tahun tidak bertemu, kalau tidak diperkenalkan mungkin saya tidak tahu.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada cikgu Aisah yang pernah mendidik saya pada tahun semasa di Tingkatan 1 hingga 3 dan saya ucapkan Selamat Hari Guru walaupun sudah terlewat, namun ucapan Hari Guru adalah sepanjang zaman,” katanya.-SAHIH.