FOKUS MUTU PADANG LATIHAN
Berita Sukan
FOKUS MUTU PADANG LATIHAN
KUALA LUMPUR: “Jangan ghairah bina stadium, fokus pada venue latihan dahulu!”
Itu harapan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam yang mahukan supaya setiap pasukan dapat melihat kepentingan untuk memiliki dan menaiktaraf padang latihan buat pasukan terlebih dahulu sebelum memuaskan nafsu untuk merancang memiliki stadium.
Jelas Stuart, pihaknya sama sekali tidak akan membebankan pasukan untuk memiliki stadium sendiri kerana berdasarkan peringkat awal proses penswastaan yang baru dijalankan bermula musim hadapan, kestabilan pasukan menjadi keutamaan oleh badan induk itu.
“Kita kena faham di mana kos untuk pembinaan dan juga penyelenggaraan sesebuah stadium itu amat tinggi dan bukan semua negara maju dalam bola sepak, stadiumnya dimiliki oleh pasukan.
“Mungkin ya kalau di England, Sepanyol dan Jerman namun di sana pun, ia adalah satu kemewahan untuk pasukan memiliki stadium sendiri. Tetapi kalau kita lihat di Australia, stadium pasukan kebanyakannya disewa daripada perbadanan tempatan.
“Apa yang penting buat pasukan adalah padang latihan kerana pasukan lebih banyak menghabiskan masa di padang latihan daripada di stadium. Dengan penswastaan, pasukan boleh manfaatkan kerjasama bagi menaikkan standard venue latihan kerana dengan itu, persembahan di atas padang juga akan bertambah maju,” katanya.
Sumber: BH Online