Doa warga emas termakbul dapat tunai haji bersama isteri, empat anak
Foto atas : Keluarga Razak (3 dari kiri) berdoa sebelum berangkat ke Sepang bersama isteri, dan empat anaknya.
JERANTUT- Hasrat pasangan warga emas, Abdul Razak Ismail, 63, dan isterinya Rohana Johan, 60, untuk menunaikan haji serentak bersama empat anaknya termakbul apabila menjadi tetamu Allah, pada musim haji tahun ini.
“Saya bersyukur kepada Allah kerana hajat, impian dan doa termakbul apabila saya, isteri dan empat anak termasuk menantu dapat bersama menunaikan haji.
“Malah anak lelaki dapat duduk sebilik dengan saya manakala anak perempuan duduk sekali dengan ibunya,” katanya.
Pasangan pesara guru yang menetap di Perumahan LKNP di sini, mendaftar menunaikan haji bersama empat anaknya 15 tahun lalu, iaitu pada 2009 ketika mereka masih belajar.
Empat anaknya adalah Muhamad Asyraf , 32; dan isterinya Nurul Farhana Azis, 29; anak kembar
Khairun Athirah, 31; dan Khairun Amirah , 31; dan Muhamad Afham, 24.
Beliau menggalakkan semua anaknya untuk menabung dalam simpanan Tabung Haji apabila mereka mula bersekolah rendah.
“Saya sering menggalakkan mereka menyimpan duit raya pemberian saudara mara ke dalam simpanan Tabung Haji, selain membuat tabungan apabila sudah bekerja supaya dapat pergi haji bersama ayah dan emak.
Anak sulung, Muhamad Asyraf , berkata, beliau bersyukur kerana hasrat ayah dan ibunya untuk menunaikan haji bersama tercapai.
Katanya, mereka empat beradik sering mengikut nasihat ibu bapanya sejak di sekolah rendah untuk menabung.
“Setiap kali selepas raya, kami adik-beradik akan mengikut ayah ke pejabat Tabung Haji untuk menyimpan wang yang dikumpul. Kami juga membuat potongan gaji ketika mula bekerja.
“Ayah dan emak sering berpesan supaya kami empat beradik tidak boros berbelanja dan wang yang disimpan digunakan untuk menunaikan haji.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada ayah dan emak kerana mendaftarkan kami ketika usia masih muda,” katanya ditemui sebelum sebelum ke Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA, di Sepang, semalam.
Mereka dijadualkan berlepas dengan penerbangan KT 43B ke Madinah, pada jam 1 pagi.
Sumber : Berita Harian