DIDAKWA MILIKI BAHAN PORNOGRAFI KANAK-KANAK
PEKERJA KILANG KENA IKAT JAMIN RM5,000
KUANTAN: Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuantan, hari ini, atas pertuduhan memiliki video pornografi kanak-kanak yang disimpan dalam telefon bimbit, Rabu lalu.
Pengakuan Mohd Irwan Ramli, 23, yang berasal dari Kemaman, Terengganu direkodkan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut laporan Bernama, tertuduh didakwa memiliki empat salinan video itu yang disimpan dalam iPhone 7 Plus miliknya semasa polis membuat pemeriksaan di jalan berhampiran Lorong Sekilau 58 di sini pada jam 7.20 petang, 4 November lalu.
Gambar Hiasan
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, peguam Muhamad Saifuldin Ab Rahman merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM12,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan atas alasan tertuduh memperoleh pendapatan bulanan RM1,100 yang turut digunakan untuk menanggung ibu bapa yang uzur.
Siti Aminah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan serta menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abd Ghani.