15 wanita tercantik dunia 2026, Rosé BLACKPINK jadi pilihan utama
Kecantikan 15 selebriti wanita dari seluruh dunia terus mencuri perhatian peminat hiburan antarabangsa sepanjang 2026, dengan nama besar dari Korea Selatan, Hollywood dan Asia mendominasi senarai pilihan.
Penyanyi kumpulan BLACKPINK, Rosé menjadi pilihan utama dalam senarai editorial ini, diikuti pelakon Hollywood, Sydney Sweeney dan anggota BABYMONSTER, Pharita.
Turut mendapat tempat ialah pelakon Filipina, Andrea Brillantes, Whitney Peak dan model Itali, Deva Cassel yang masing-masing mempunyai daya tarikan serta keunikan penampilan tersendiri.
Senarai 15 wanita tercantik dunia pilihan 2026 itu ialah:
Rosé (BLACKPINK)
Sydney Sweeney
Pharita (BABYMONSTER)
Andrea Brillantes
Whitney Peak
Deva Cassel
Becky Armstrong
Karina (aespa)
Sitala
Dasha Taran
Jisoo (BLACKPINK)
Zendaya
Lisa (BLACKPINK)
Deepika Padukone
Dilraba Dilmurat
Kehadiran tiga anggota BLACKPINK iaitu Rosé, Jisoo dan Lisa dalam senarai berkenaan memperlihatkan pengaruh besar bintang K-pop dalam dunia hiburan dan fesyen antarabangsa.
Sementara itu, nama Zendaya, Deepika Padukone dan Dilraba Dilmurat turut menyerlah menerusi kerjaya lakonan serta penampilan mereka dalam industri hiburan.
Bagaimanapun, senarai berkenaan bukan keputusan pertandingan atau kedudukan rasmi mana-mana badan penarafan kecantikan, sebaliknya pilihan editorial berdasarkan daya tarikan, populariti dan penampilan selebriti terbabit.
Kecantikan juga bersifat subjektif dan setiap individu mempunyai pandangan serta pilihan tersendiri.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Hotel Apsara Bukit Residen dibuka semula 5 Oktober, nostalgia Kuala Lipis kembali bernyawa
KUALA LIPIS: Hotel Apsara Bukit Residen Kuala Lipis bakal dibuka semula pada 5 Oktober ini, sekali gus menghidupkan kembali sebuah lokasi penuh nostalgia yang suatu ketika dahulu cukup dikenali sebagai Rumah Rehat Bukit Residen.
Selepas sekian lama sepi, bangunan yang menyimpan pelbagai kisah dan kenangan masyarakat Kuala Lipis itu kini diberi nafas baharu menerusi pembangunan oleh Grand Apsara Development Sdn Bhd.
Lebih menarik, hotel berkenaan mengetengahkan konsep Victorian Style selari dengan nilai sejarah bangunan itu yang pernah menjadi kediaman Residen British, Hugh Clifford, sekali gus mengekalkan sentuhan klasik yang menjadi identiti lokasi berkenaan.
Pembukaan semula itu dilaksanakan secara berperingkat dengan peringkat pertama memberi tumpuan kepada kemudahan penginapan membabitkan 17 bilik.
Pembangunan peringkat kedua pula akan menyaksikan pembukaan restoran, kafe dan kolam renang, sekali gus melengkapkan kemudahan untuk tetamu dan pengunjung.
Pembukaan semula lokasi itu dijangka menggamit memori terutama dalam kalangan generasi lama yang pernah berkunjung, menginap, menghadiri majlis atau menjadikan Rumah Rehat Bukit Residen sebagai tempat persinggahan suatu ketika dahulu.
Sejak berita mengenai pembukaan semula itu dikongsikan, ramai warga Kuala Lipis turut berkongsi kenangan masing-masing, membuktikan lokasi terbabit masih mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam kalangan masyarakat setempat.
Pengarah Grand Apsara Development Sdn Bhd, Nor Asmira Azharuddin berkata, usaha menghidupkan semula lokasi berkenaan bukan sekadar membawa nama baharu, malah mengembalikan sebuah tempat yang sarat dengan sejarah dan cerita masyarakat Kuala Lipis.
“Tempat ini mempunyai begitu banyak kenangan buat masyarakat Kuala Lipis.
“Harapan kami, Hotel Apsara Bukit Residen bukan sahaja menjadi tempat untuk menginap, tetapi turut menjadi tempat mencipta kenangan baharu untuk generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, sempena soft opening, hotel berkenaan menawarkan diskaun 20 peratus bagi semua kategori bilik sehingga 30 November 2026.
Bilik Standard Queen dan Standard Twin yang masing-masing berharga RM190 ditawarkan pada harga promosi RM152, manakala Standard Triple daripada RM260 kepada RM208.
Bagi Deluxe Quadruple, harga promosi ditawarkan pada RM280 berbanding RM350, sementara Family Room untuk enam orang pula daripada RM500 kepada RM400.
Hotel itu turut menawarkan VIP Room lengkap dengan ruang dewan dan balkoni pada harga promosi RM480, berbanding harga asal RM600.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi 09-308 6887 atau 011-6194 6200.
Pembukaan semula itu sekali gus memberi peluang kepada generasi lama kembali menjejak sebuah lokasi yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka, manakala generasi baharu pula berpeluang mencipta cerita tersendiri di tempat sama.
Selepas sekian lama menyimpan seribu kisah, Hotel Apsara Bukit Residen kini kembali bernyawa — membawa nostalgia lama sambil membuka lembaran baharu buat Kuala Lipis.-SAHIH
#kw: Hotel Apsara, Bukit Residen, Kuala Lipis, promosi bilik
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
‘MAK KAU HIJAU’ SELEPAS RUKUN NEGARA, VIDEO TEATER CETUS KONTROVERSI
KUALA LUMPUR: Rakaman sebuah persembahan teater bertajuk ‘This is Malaysia’ mencetuskan kontroversi selepas tular di media sosial kerana didakwa mempersendakan Rukun Negara selain menyentuh isu sensitif membabitkan kaum dan institusi negara.
Klip pendek persembahan itu memaparkan beberapa pelakon yang dipercayai membawa watak mewakili masyarakat berbilang kaum saling mengeluarkan dialog antaranya meminta individu lain ‘pulang’ ke China, India dan Indonesia sebelum disusuli ungkapan ‘This is Malaysia’.
Apa yang lebih mengundang perhatian ialah babak beberapa pelakon membaca prinsip Rukun Negara satu persatu, namun setiap bacaan disusuli respons berbentuk sindiran dan jenaka.
Pada penghujung babak berkenaan, ungkapan ‘Mak kau hijau!’ turut dilontarkan sehingga disambut gelak tawa penonton.
Rakaman berkenaan turut menunjukkan seorang pelakon lelaki hanya mengenakan pakaian dalam berwarna merah dengan tulisan berwarna merah dan putih pada tubuhnya.
Susulan video itu tular, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera serta menyeluruh terhadap persembahan berkenaan.
Menurutnya, tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang termasuk peruntukan berkaitan Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948.
Aaron menegaskan Rukun Negara bukan sekadar ikrar yang dibaca ketika majlis rasmi, sebaliknya menjadi ideologi dan falsafah negara serta panduan dalam membina masyarakat Malaysia yang bersatu.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula menggesa pihak penganjur dan individu terbabit memberi penjelasan terbuka serta memohon maaf, selain meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu secara adil mengikut undang-undang.-SAHIH
#kw #Rukun Negara, This is Malaysia, video tular, #PDRM, #MCMC
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Bera: Antara penguatkuasaan, hutan simpan dan suara Orang Asli
ISU yang berlaku di Tasek Bera pada 15 September lalu tidak sepatutnya dilihat sekadar melalui rakaman pertelingkahan, sekatan atau tangkapan.
Lima individu dipercayai Orang Asli, terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita ditahan ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera selepas didakwa menghalang pasukan penguat kuasa menjalankan tugas.
Menurut polis, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan fungsi awam.
Jika benar berlaku kesalahan, undang-undang perlu berjalan. Penguat kuasa mempunyai tugas yang perlu dilaksanakan dan tiada sesiapa wajar mengambil undang-undang ke tangan sendiri.
Namun pada pandangan penulis, tangkapan itu tidak seharusnya menutup satu persoalan lebih besar — apakah sebenarnya yang dipertikaikan oleh masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan?
Tasek Bera bukan sekadar sebuah hutan simpan atau kawasan pemuliharaan di atas peta.
Ia adalah Tapak Ramsar berkepentingan antarabangsa dan pada masa sama kawasan yang cukup sinonim dengan kehidupan masyarakat Orang Asli Semelai sejak sekian lama.
Sebab itu apabila timbul pertikaian membabitkan tanah di kawasan seperti ini, penyelesaiannya tidak boleh sekadar terhenti kepada siapa mempunyai kuasa memasuki kawasan berkenaan atau siapa menghalang operasi.
Kerajaan mempunyai tanggungjawab melindungi hutan.
Masyarakat Orang Asli pula mempunyai sejarah, kehidupan, budaya dan hubungan dengan tanah yang perlu didengar serta diteliti berdasarkan fakta dan undang-undang.
Istilah “tanah adat” sendiri kini menjadi perbahasan.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini mengingatkan bahawa Akta Orang Asli 1954 tidak memperuntukkan kategori tanah bernama tanah adat dan setiap tuntutan perlu dilihat berdasarkan status tanah, sempadan, sejarah pendudukan serta fakta di lapangan.
Titah itu penting.
Tidak seharusnya sesuatu kawasan terus dianggap menjadi hak seseorang hanya kerana pernah dimasuki atau digunakan.
Tetapi pada masa sama, kedudukan undang-undang mengenai hak Orang Asli juga tidak boleh dibaca daripada Akta Orang Asli semata-mata.
Beberapa keputusan mahkamah di negara ini sebelum ini mengiktiraf hak masyarakat Orang Asli terhadap tanah yang dapat dibuktikan diduduki dan digunakan secara tradisi dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Di sinilah perkara ini memerlukan penjelasan, bukan emosi.
Pada 2018, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pernah menyatakan di Dewan Undangan Negeri bahawa istilah tanah adat tidak terpakai di Pahang.
Setahun kemudian ketika berada di Pos Iskandar, Bera, beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sedang mengambil langkah mewartakan ribuan hektar Tanah Rizab Orang Asli dan menegaskan kebajikan masyarakat berkenaan terus diberi perhatian.
Maka dalam isu terbaru ini, kerajaan negeri mempunyai peluang untuk memberikan penjelasan selengkapnya.
Tunjukkan peta kawasan yang terlibat.
Nyatakan sempadan Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera yang menjadi lokasi operasi.
Jelaskan jenis pencerobohan yang dikatakan berlaku, bila ia bermula, berapa keluasan terlibat dan siapa sebenarnya yang meneroka kawasan berkenaan.
Lebih penting, jelaskan sama ada terdapat pertindihan dengan kawasan yang didakwa telah digunakan masyarakat Semelai secara turun-temurun dan apakah rekod JAKOA mengenai kawasan tersebut.
Dalam masa sama, pihak yang mewakili masyarakat Orang Asli juga perlu tampil dengan fakta.
Jika kawasan berkenaan benar-benar dituntut berdasarkan sejarah pendudukan dan penggunaan tradisi, kemukakan rekod, peta, sejarah penempatan serta bukti berkaitan melalui saluran yang sewajarnya.
Kita tidak mahu pihak luar mengambil kesempatan atas nama masyarakat Orang Asli. Kita juga tidak mahu masyarakat Orang Asli yang benar-benar mempunyai kepentingan terhadap tanah berkenaan hilang suara hanya kerana keseluruhan isu dilabel sebagai “pencerobohan”.
Lima tangkapan semalam boleh disiasat mengikut undang-undang.
Tetapi pertikaian mengenai tanah tidak selesai dengan gari.
Ia memerlukan fakta, sempadan yang jelas, pendengaran kedua-dua pihak dan akhirnya keberanian mencari penyelesaian yang adil.
Kerana dalam isu sebegini, hutan perlu dipelihara, undang-undang perlu dihormati — dan suara masyarakat yang sudah sekian lama hidup bersama hutan juga tidak boleh diketepikan.-SAHIH
GAMBAR IHSAN :PDRM BERA
#kw Tasek Bera, Orang Asli Semelai, tanah Orang Asli, Pahang
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Selepas meraih kutipan lebih RM5 juta di pawagam Malaysia, filem seram dramatik tempatan, Khadam kini melebarkan sayap ke pasaran Asia sebelum membuka peluang pengedaran dan jualan antarabangsa ke seluruh dunia.
Filem arahan Shamyl Othman itu yang diterbitkan Komet Productions dan Red Communications sudah menemui penonton di Kemboja dan Singapura, sebelum dijadualkan memasuki pasaran Indonesia pada 16 September ini.
Momentum Khadam turut berterusan apabila filem itu mula mendapat perhatian dan tular di media sosial Hong Kong menjelang tayangan pawagam di negara berkenaan pada 8 Oktober depan.
Menurut kenyataan media, sambutan menggalakkan di rantau ini mendorong pihak penerbit membuka peluang hak pengedaran antarabangsa di luar Asia Tenggara.
Khadam mula ditayangkan di lebih 120 pawagam di Malaysia dan Brunei pada 11 Jun lalu dengan meraih RM1.2 juta pada minggu pembukaan.
Kutipannya meningkat kepada RM2.6 juta dalam tempoh seminggu sebelum melonjak melebihi RM5 juta di pawagam Malaysia menjelang awal Julai, sekali gus meletakkannya antara filem tempatan yang mencatat prestasi menonjol tahun ini.
Selain kejayaan komersial, filem berkenaan turut menerima maklum balas positif daripada penggiat industri termasuk pengarah veteran Erma Fatima dan pelakon Sofea Jane, selain mendapat perhatian menerusi kekuatan skrip, lakonan serta reka bentuk bunyi.
Berlatarbelakangkan era 1950-an, Khadam mengisahkan Melor yang terpaksa mewarisi ‘saka’ selepas kematian ibunya.
Entiti berkenaan kemudian perlahan-lahan mengambil alih kehidupannya dengan menjelma sebagai gambaran dirinya yang ideal sebagai isteri dan ibu sehingga Melor terpaksa berjuang mempertahankan identiti serta keluarganya.
Filem itu menampilkan pelakon Indonesia Aghniny Haque sebagai Melor bersama Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl’ El dan penampilan khas Jun Lojong.
Kerjasama produksi Khadam turut membabitkan rakan serantau dari Indonesia, Hong Kong dan India serta mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).-SAHIH
#kw Khadam, filem tempatan, box office, pawagam Asia
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
CHUKAI: Secawan kopi bukan sekadar penghilang dahaga, malah menjadi pengikat hubungan masyarakat pelbagai kaum di sebuah kedai kopi berusia lebih lapan dekad di bandar ini.
Kedai Kopi Hai Peng yang beroperasi sejak 1940 terus mempertahankan identitinya sebagai antara premis paling lama bertahan di Chukai, selain kekal menjadi lokasi pertemuan masyarakat Melayu, Cina dan India.
Pemiliknya, Richard Wong Tien Loong berkata, sejak dahulu kedai itu menjadi tempat penduduk setempat duduk semeja sambil menikmati kopi dan sarapan.
Menurutnya, suasana muhibah berkenaan masih kekal sehingga kini walaupun perniagaan itu sudah melalui beberapa generasi.
Wong yang mengambil alih pengurusan kedai berkenaan pada 2014 berkata, hubungan erat antara pelanggan pelbagai kaum menjadi antara keistimewaan premis berkenaan.
Selain kopi Hainan, kedai itu turut menawarkan hidangan tradisional antaranya roti bakar kaya, telur separuh masak dan nasi lemak yang terus menjadi pilihan pelanggan.
Menariknya, kesemua 14 pekerja di premis berkenaan adalah orang Melayu, sekali gus mencerminkan hubungan harmoni yang terjalin dalam operasi perniagaan itu.
Bagi pelanggan tetap pula, kedai berkenaan bukan hanya tempat menikmati sarapan, sebaliknya menjadi ruang pertemuan yang mengeratkan hubungan masyarakat setempat sejak sekian lama.
Suasana pelanggan pelbagai kaum menikmati hidangan bersama menjadikan premis itu antara contoh bagaimana hubungan muhibah dapat dipupuk melalui kehidupan seharian.
Sempena Bulan Kebangsaan, pemilik dan pelanggan berharap keharmonian yang dibina sejak lebih 80 tahun lalu dapat terus dipelihara serta diwarisi generasi akan datang.
Mereka turut berharap keunikan kedai kopi berkenaan kekal menjadi sebahagian daripada identiti Chukai dan simbol perpaduan masyarakat pelbagai kaum di daerah itu.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Kedai Kopi Hai Peng, Chukai, Terengganu, perpaduan, muhibah, kopi Hainan, Richard Wong Tien Loong, Bulan Kebangsaan, masyarakat pelbagai kaum, warisan
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Rumah uzur dua beradik yatim piatu perlu dibaiki segera
KUALA KRAI : Dua beradik yatim piatu yang hidup serba kekurangan kini memerlukan bantuan orang ramai bagi membaik pulih kediaman mereka yang semakin uzur demi mendapatkan tempat tinggal lebih selamat dan selesa.
Lebih menyentuh hati, si abang yang baru berusia 20 tahun terpaksa berhenti belajar dan bekerja sebagai pembantu kedai makan bagi mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan persekolahan adiknya serta keperluan harian mereka.
Pengerusi Mahabah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed berkata, keadaan rumah didiami dua beradik berkenaan sangat daif dengan sebahagian zink bumbung sudah reput dan bocor.
Menurutnya, keadaan bumbung juga membimbangkan apabila ada kepingan zink terpaksa diikat menggunakan tali bagi mengelakkannya diterbangkan angin.
“Pendapatan si abang sebagai pembantu kedai makan tidak seberapa, namun dia tetap berusaha mencari rezeki untuk perbelanjaan sekolah adiknya dan memastikan mereka mempunyai makanan.
“Keadaan rumah mereka pula terlalu uzur dan memerlukan pembaikan segera supaya dua beradik ini dapat tinggal dengan lebih selesa dan selamat,” katanya.
Che Norhayati berkata, pihaknya merancang menggantikan bahagian bumbung rosak selain membina tandas baharu di dalam rumah kerana kemudahan sedia ada berada di luar kediaman.
Katanya, sebuah bilik turut dirancang untuk dibina bagi memberi ruang lebih selesa kepada dua beradik itu untuk tidur dan belajar kerana rumah berkenaan ketika ini tidak mempunyai bilik.
Selain itu, Mahabah Asnaf Society turut berhasrat memasang siling, membaiki bahagian dapur serta menyediakan keperluan asas termasuk kipas, katil, almari pakaian dan almari makanan.
Beliau berharap orang ramai dapat bersama-sama menghulurkan sumbangan terutama sempena bulan Rabiulawal bagi meringankan beban dua beradik berkenaan.
“Sumbangan sekecil mana pun amat bermakna dan diharapkan dapat memberikan kehidupan lebih selesa kepada mereka. Semoga setiap sedekah mendapat keredaan, rahmat dan keberkatan Allah SWT,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Mahabah Asnaf Society, 03072010143853.
#kw: Mahabah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed, yatim piatu, rumah uzur, bantuan asnaf, sumbangan, dua beradik, baik pulih rumah, Rabiulawal, kebajikan
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Escape ke Alam Semula Jadi di Kuala Gandah Eco Chalet
Lanchang: Mahukan percutian yang tenang, mendamaikan dan dikelilingi keindahan alam semula jadi? Kuala Gandah Eco Chalet menawarkan pengalaman unik buat mereka yang ingin melarikan diri daripada kesibukan kota sambil mencipta kenangan indah bersama keluarga, rakan-rakan dan komuniti.
Terletak berhampiran Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, lokasi itu menjadi pilihan ideal kepada pencinta alam yang ingin menikmati suasana menghijau, udara segar serta pelbagai aktiviti rekreasi dalam persekitaran yang selesa dan selamat.
Pengerusi Koperasi Teguh Jaya (KOTEJA) Temerloh Berhad, Jamil Yaakub, berkata Kuala Gandah Eco Chalet bukan sekadar menyediakan tempat penginapan, malah menawarkan pengalaman percutian yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan dan semangat berpasukan.
“Kami mahu setiap pengunjung menikmati ketenangan alam sambil mencipta memori bermakna bersama insan tersayang. Konsep kami ialah ‘Nikmati Alam, Cipta Kenangan’ dan ia menjadi keutamaan dalam setiap perkhidmatan yang disediakan,” katanya.
Menurutnya, sempena promosi sehingga Disember 2026, orang ramai boleh menikmati chalet pada harga bermula RM150 semalam, kabin bermula RM220 semalam, manakala tapak perkhemahan hanya RM25 semalam, menjadikannya antara destinasi percutian alam yang menawarkan nilai terbaik di Pahang.
Beliau berkata, Kuala Gandah Eco Chalet turut menyediakan pakej khas yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pelanggan termasuk untuk hari keluarga, program pembinaan pasukan (team building), program sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), reunion, aktiviti komuniti serta pelbagai program korporat.
Katanya, kemudahan lengkap seperti kawasan BBQ, tapak perkhemahan, ruang aktiviti luar dan penginapan yang selesa menjadikan lokasi itu sesuai untuk pelbagai acara sepanjang tahun.
“Pengunjung juga berpeluang melawat Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah yang terletak berhampiran chalet, sekali gus menambah pengalaman menarik sepanjang percutian mereka,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau membuat tempahan boleh menghubungi Jamil Yaakub di talian 013-933 1841.
“Tak perlu ke luar negara, syurga alam ada di Kuala Gandah.” – SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
Dua beradik bangkit selepas hilang kaki dalam nahas
TEMERLOH: Kesempitan hidup yang memaksa bapa mereka menangkap dan menjual udang sungai bagi menyara keluarga menjadi titik tolak kepada dua beradik yang kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan jalan raya untuk bangkit mengubah nasib dengan berniaga.
Nik Haznita Safiya Nur Ismadi, 21, dan adiknya, Nik Haziera Safiya Nur Ismadi, 19, berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat pengorbanan bapa yang bertungkus-lumus mencari rezeki demi memastikan keluarga dapat meneruskan kehidupan.
Nik Haziera berkata, sebelum memulakan perniagaan, mereka hanya berada di rumah selepas menjalani proses pemulihan akibat kemalangan yang mengubah kehidupan mereka.
“Kami kasihan tengok abah. Masa itu keadaan ekonomi keluarga susah sehingga abah terpaksa menangkap dan menjual udang sungai untuk menyara kami sekeluarga.
“Bila keadaan kami semakin pulih, kami berbincang untuk berniaga semula kerana tidak mahu terus bergantung kepada keluarga,” katanya.
Beliau berkata, nahas itu berlaku apabila motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta sebelum tercampak ke laluan bertentangan.
“Ketika itu kami hendak memotong sebuah kenderaan. Bagaimanapun, kereta dari belakang turut memotong lalu melanggar motosikal kami. Kami terjatuh dan pada masa sama sebuah lori datang dari arah bertentangan sebelum gagal mengelak,” katanya.
Menurutnya, kakaknya kehilangan kaki sejurus selepas kemalangan itu, manakala kaki kanannya pula terpaksa dipotong setahun kemudian akibat kerosakan saraf yang semakin serius selepas besi rawatan dikeluarkan.
Nik Haziera yang juga atlet pelapis lawan pedang kerusi roda negara berkata, kehilangan anggota badan tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan.
“Kami tak pernah rasa hidup sudah berakhir. Walaupun kaki dah tak ada, kami tetap rasa seperti diri kami yang dahulu. Bezanya sekarang kami berjalan menggunakan tongkat,” katanya.
Beliau berkata, mereka turut bersyukur menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Petronas serta Kerajaan Negeri Pahang yang banyak membantu proses pemulihan mereka selepas kemalangan.
Katanya, pengalaman pahit itu menjadi pembakar semangat untuk berdikari dan membantu meringankan beban keluarga.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 meriahkan ekonomi komuniti
KANGAR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bakal menganjurkan program NAT Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 bermula 1 hingga 3 Mei ini di Pasar Terapung JPS, di sini, bagi memperkukuh jaringan ekonomi koperasi, komuniti dan usahawan tempatan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, program selama tiga hari itu menjadi platform strategik untuk aktiviti jualan, promosi produk serta padanan perniagaan yang lebih meluas melibatkan koperasi dan pemain industri dari dalam serta luar negara.
Menurutnya, penganjuran NAT Antarabangsa itu dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat khususnya di Perlis dengan penyertaan koperasi, usahawan mikro kecil dan sederhana (PMKS) serta agensi kerajaan.
Katanya, sebanyak 50 pempamer koperasi akan mengambil bahagian dengan menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk makanan dan minuman, barangan keperluan asas, hasil pertanian serta perkhidmatan inovatif.
“Penganjuran ini menyediakan ruang komprehensif kepada koperasi memasarkan produk secara terus kepada pengguna selain membuka peluang jaringan perniagaan antara koperasi dan rakan strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hari pertama program akan menyaksikan jualan produk NAT dan Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan pada harga berpatutan selain pertandingan mewarna.
Pada 2 Mei pula, pengunjung berpeluang menikmati Pasar Tani Terapung FAMA serta program Puisi Nusantara dan persembahan gendang.
Kemuncak penganjuran pada 3 Mei menampilkan Wacana NAT Antarabangsa: Cabaran dan Masa Depan yang akan dirasmikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Abu Bakar Hamzah.
Majlis perasmian rasmi NAT Antarabangsa itu pula akan disempurnakan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada sebelah malam, selain peluncuran platform Malaysia Halal Marketplace dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU).
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program berkenaan sepanjang penganjuran.-SAHIH
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!