MADRID: Penyerang utama Atletico Madrid, Diego Costa masih tidak faham kenapa Barcelona mengambil keputusan untuk menjual pemain hebat seperti Luis Suarez.
Dia yang sangat gembira dengan kehadiran Suarez ke Atletico Madrid menganggap tindakan Barcelona itu adalah satu kesilapan besar dan merugikan.
“Dia (Suarez) adalah pemain yang bagus dan sentiasa memberikan persembahan terbaik setiap kali turun beraksi.
“Rekodnya ketika bersama Barcelona juga sangat menarik… dengan 198 gol dijaringkan sepanjang bersama pasukan itu, Suarez bukan pemain biasa, dia ada kebolehan yang tidak dimiliki kebanyakan pemain lain,” katanya.
Kehadiran Suarez ke Atletico Madrid dimulakan dengan langkah kanan apabila pasukan yang baru disertainya itu menang bergaya 6-1 menewaskan Granada.
Suarez yang beraksi sebagai pemain gantian selepas Costa dikeluarkan pada babak kedua, menjaringkan dua gol dan satu assist dalam tempoh 20 minit.
Sumber: Skysports
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Pembatalan beberapa kejohanan badminton antarabangsa tahun ini susulan pandemik COVID-19, memberi peluang terbaik kepada pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia, memantapkan persediaannya sebelum menyertai Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.
Pemain berusia 22 tahun itu memaklumkan, beliau sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang yang dialaminya ketika menyertai Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada Ogos lepas dan kembali menjalani latihan seperti biasa sejak awal bulan ini.
Beliau mengakui pembatalan beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Piala Thomas akibat pandemik itu memberi tekanan mental kepada barisan pemain negara, yang memerlukan lebih banyak kejohanan bagi mengekalkan prestasi masing-masing.
“Ini kali pertama saya merasai pengalaman sebegini (ketiadaan kejohanan dalam tempoh panjang). Setakat ini, masih OK, cuma saya bosan sebab tiada kejohanan, ini sedikit sebanyak menjejaskan mental pemain,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di ABM, Bukit Kiara, hari ini.
“Saya akan berbincang dengan barisan kejurulatihan mengenai perancangan selepas ini dalam tempoh terdekat, sama ada memperbanyakkan aktiviti di luar sebelum kembali ke gelanggang,” kata pemain kelahiran Kedah itu.
Pencapaian terbaik Zii Jia pada musim ini adalah mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Januari lepas.
Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) sebelum ini membuat keputusan menangguhkan saingan Piala Thomas dan Uber yang sepatutnya berlangsung di Aarhus, Denmark dari 3-11 Oktober ini ke tahun hadapan susulan COVID-19.
Sukan Olimpik 2020 yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos turut ditunda kepada 23 Julai hingga 8 Ogos, 2021 akibat pandemik tersebut.
Sumber: BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SEPANG: Penyertaan legenda sukan permotoran dua roda, Valentino Rossi ke pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) untuk saingan MotoGP tahun depan disambut baik bekas pelumba negara Shahrol Yuzy Ahmad Zaini dan Zulfahmi Khairuddin.
Shahrol Yuzy yang menyertai pentas Kejuaraan Motosikal Dunia dari 2000 hingga 2002 berkata, penyertaan Rossi secara tidak langsung akan memberi sumber motivasi buat pelumba tempatan dan pasukan yang berkecimpung dalam arena sukan permotoran dua roda.
“Bagi saya, ini perkara yang baik. Ia memberi motivasi kepada pelumba dan pasukan yang ada di Malaysia,” kata Shahrol Yuzy yang kini mengendalikan pasukannya, Honda Yuzy Racing.
“Dalam MotoGP ini, kalau tanpa Rossi, saya rasa MotoGP takkan semeriah sekarang walaupun beliau berada dalam kelompok lima atau 10 terbaik saja. Dengan kemeriahan Rossi ini, ramai peminat baik di televisyen ataupun di litar grand prix yang mahu menyaksikannya.
“Jadi ini salah satu daya penarik dimilikinya dan ia satu publisiti kepada negara, pasukan SRT (Sepang Racing Team) dan PETRONAS. Saya rasa daripada sudut keputusan (perlumbaan) Rossi, itu tak menjadi masalah. Ini (penyertaan Rossi) adalah satu perkara yang positif dan banyak membawa kebaikan daripada keburukan.”
Sementara itu, Zulfahmi yang pernah mewakili negara dalam kelas Moto3 dan Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia berkata, penyertaan Rossi tentunya memberi impak besar kepada pasukan SIC Racing Team yang dikendalikannya.
“Sudah tentu saya gembira apabila pasukan menandatangani Rossi. Ini memberi impak besar terutama kepada pasukan Sepang Racing Team. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada Rossi dan ilmu ini boleh dibawa kepada pasukan pelapis (SIC Racing Team) ataupun kepada bakat yang ada.
“Tentunya Rossi adalah legenda sukan permotoran dunia dan ini sesuatu yang sangat baik,” kata Zulfahmi.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
KUALA LUMPUR: Adakah Liga Malaysia (Liga M) kini boleh dianggap sebagai Liga Petani selepas hanya satu pasukan mampu merangkul kejuaraan dan pasukan lain terus ketinggalan apabila sekadar memburu gelaran naib juara?
Ketika ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang berada di ambang kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut dan situasi ini menyaksikan dominasi mereka dalam saingan domestik terus gagal dicabar mana-mana pasukan.
Malah, dengan penswastaan pasukan bermula musim depan, timbul persoalan jika situasi itu akan terus melebarkan jurang antara pasukan yang mampu berbelanja besar dengan pasukan yang perlu bekerja dengan bajet yang terhad.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan kemajuan bola sepak di negara ini sepatutnya tidak terikat dengan pendapatan ataupun perbelanjaan sesebuah pasukan.
Jelasnya, jurang yang dapat disaksikan ketika ini bukanlah kerana gaji ataupun perbelanjaan tetapi ia lebih kepada jurang aspek teknikal yang tidaklah begitu besar dan mampu untuk ‘dikejar’ pasukan lain menerusi perancangan yang lebih strategik dan efektif.
“Industri kita sedang membangun dan bola sepak kita pun berada dalam proses transformasi. Kalau ada pelaburan daripada segi latihan dan infrastruktur, jurang perbelanjaan itu tidak besar kerana ia ditunjukkan dengan persembahan di atas padang.
“Jadi, kalau kita lihat jurang antara JDT dengan pasukan lain, saya boleh kata sendiri ia bukanlah jurang duit tetapi jurang bola sepak yang mana ia membabitkan aspek seperti pelaburan, infrastruktur, nutrisi, sains sukan dan sebagainya,” katanya.
Mengambil contoh UiTM FC, Stuart menjelaskan apa yang dilakukan pasukan itu ketika ini memberi gambaran yang terbaik terhadap apa yang boleh dicapai sesebuah pasukan sekiranya mereka bijak menggunakan sumber yang ada sekalipun tidak memiliki dana yang besar.
“Kita tengok UiTM FC yang menggunakan infrastruktur universiti, kepakaran sains sukan dan teknologi yang mereka ada. Saya rasa setiap pasukan ada kekuatan dan kelemahan sendiri.
“Pasukan seperti UiTM FC menggunakan kekuatan mereka untuk merealisasikan perbezaan atas padang walaupun ada kekurangan daripada segi bajet dan kemampuan lain.
“Selepas ini dengan penswastaan pasukan, mereka boleh bekerjasama dengan lebih banyak pihak contohnya dengan universiti tempatan untuk jangka masa panjang seperti yang dilakukan Liverpool yang bekerjasama dengan Universiti John Moores,” katanya.
Sumber- Berita Harian
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
PUTRAJAYA: Seramai 147 atlet institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyumbang pingat pada Sukan SEA Filipina 2019 mendapat pengiktirafan dan insentif daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kelmarin.
Penyerahan insentif pada ketika aktiviti sukan negara masih sepi daripada pertandingan ternyata menceriakan mereka yang menjadi antara penyumbang pingat utama di temasya itu.
Berdasarkan rekod, daripada jumlah 773 kontinjen negara beraksi di Filipina, 233 daripadanya atlet IPT.
Lebih menarik, mereka menyumbang 29 pingat emas daripada keseluruhan 55 emas diperoleh kontinjen Malaysia selain memenangi 29 perak dan 27 gangsa.
Ratu gimnastik artistik, Farah Ann Abdul Hadi muncul penerima insentif tertinggi individu apabila membawa pulang wang tunai RM6,000 selepas memenangi tiga pingat emas.
Skuad olahraga pula mendapat insentif tertinggi RM17,000 menerusi kejayaan tiga pingat emas, lapan perak dan lima gangsa diikuti bola jaring dan terjun masing-masing menerima RM14,000.
Paling istimewa apabila buat kali pertama KPT memberikan penghormatan kepada lima atlet yang sudah melayakkan diri beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Ogos tahun depan.
Mereka ialah Farah Ann, Khairulnizam Mohd Affendy (perahu layar), Nur Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee dan Wendy Ng (terjun) yang disarungkan blazer khas UOlimpian IPT oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad.
“Saya berharap suatu hari nanti, atlet IPT berjaya membawa pulang pingat emas di Universiade dan Sukan Olimpik, IPT akan terus menyokong pembangunan sukan di IPT dan terus menjaga kebajikan atlet,” kata Noraini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr Zabri Yusoff dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Rosli Yaakub.
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LOS ANGELES: Manny Pacquiao dilapor sedang mempertimbangkan untuk bertarung dengan bintang seni bela diri campuran (MMA) dari Ireland, Conor McGregor dalam perancangannya untuk kembali ke gelanggang, kata wakil petinju dari Filipina itu kepada AFP.
Sean Gibbons yang juga presiden promosi Pacquiao, berkata pertarungan antara juara dunia dalam lapan divisyen itu dengan McGregor pastinya akan menjadi acara global yang luar biasa.
Pacquiao, 41, sudah tidak bertarung sejak meraih gelaran WBA welterweight hasil kemenangan bergaya ke atas Keith Thurman di Las Vegas pada Julai tahun lalu.
Dia berjaya mengimbangi kerjayanya sebagai ahli politik di Filipina yang mana dia dilantik sebagai senator dan dalam masa sama masih bertinju di peringkat tertinggi.
Gibbons, berkata biarpun masih belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai pertarungan kedua-dua jaguh dunia itu, namun ia salah satu pertarungan yang dipertimbangan secara serius oleh Pacquiao untuk dia kembali ke gelanggang.
“Idea untuk melihat pertarungan antara Senator Pacquiao deengan Conor McGregor sudah beberapa kali dikemukakan,” kata Gibbons yang menambah McGregor sudah membuktikan yang dia mampu memberi cabaran kepada jaguh tinju dunia menerusi pertarungannya dengan Mayweather sebelum ini.
Terdahulu, McGregor menerusi ciapan di Twitter memberitahu yang dia akan bertarung dengan Pacquiao di Timur Tengah.
“Ia adalah satu penghormatan apabila dapat berdepan dua jaguh tinju dunia dalam era moden,” katanya.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
LONDON: Lionel Messi melancarkan satu lagi serangan terhadap ahli lembaga pengarah Barcelona apabila mendakwa mereka tidak menghormati Luis Suarez dengan menyingkirkan pemain itu.
Suarez, 33, dilaporkan mahu kekal bersama The Catalan musim ini biarpun memainkan peranan sebagai pemain gantian tetapi akhirya bersetuju untuk meninggalkan kelab berkenaan selepas diberitahu yang dia tidak berada dalam perancangan jurulatih baharu, Ronaldo Koeman.
Kelmarin, Barcelona mengumumkan kelab itu bersetuju dengan perjanjian perpindahan Suarez ke Atltico Madrid sekali gus menyingkirkan rakan baik Messi daripada bilik persalinan.
“Ia akan menjadi pelik apabila melihat anda menyarung jersi lain dan menjadi lebih pelik apabila perlu bermain menentang anda,” tulis Messi di Instagram miliknya, sehari selepas majlis perpisahan yang diadakan di Nou Camp.
“Anda berhak pergi dengan kerelaan anda sendiri; salah seorang pemain paling penting dalam sejarah kelab, memenangi pelbagai kejuaraan sebagai satu pasukan dan individu.
“Tidak sepatutnya mereka menyingkirkan anda seperti mana yang dilakukan ini. Namun, secara jujurnya, ia bukan sesuatu yang mengejutkan.”
Kenyataan Messi itu menjadi satu lagi bukti yang dia tidak lagi sehaluan dengan Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu yang menyaksikan dia hampir meninggalkan kelab berkenaan pada Ogos lalu.
Selain Suarez, seorang lagi rakan baik Messi, Arturo Vidal turut meninggalkan Barcelona.
Sumber: Agensi
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
MANCITY, LIVERPOOL TERUSKAN KEMARAAN SAINGAN PIALA LIGA
City tampil sebagai juara bertahan dan sudah memenangi saingan itu sejak tiga tahun lalu tetapi pengurus, Pep Guardiola mengakui dia terpaksa menyenaraikan pemain muda bagi memberi keutamaan terhadap kempen Liga Perdana Inggeris susulan persiapan pra musim yang singkat dan beberapa pemain disahkan positif COVID-19.
LONDON: Phile Foden muncul wira Manchester City apabila meledak gol kemenangan bagi mengatasi Bournemouth 2-1 dan mara ke pusingan keempat Piala Liga, manakala Liverpool berpesta gol menewaskan Lincoln 7-2, awal pagi tadi.
Liam Delap iaitu anak kepada bekas pemain tengah Stoke City, Rory Delap hanya memerlukan 18 minit bagi menjaringkan gol dalam penampilan pertamanya bersama skuad utama selepas mendapat hantaran daripada Foden.
“Dia adalah penyerang yang berbeza daripada apa yang kami miliki dari aspek fizikal. Kami dapat lihat ketika latihan, dia mempunyai sentuhan penyudah yang sangat baik,” kata Guardiola mengulas mengenai pemain berusia 17 tahun itu.
Bagaimanapun, jaringan pendahuluan itu hanya bertahan selama empat minit apabila pemain Bournemouth, Sam Sturridge berjaya menjaringkan gol penyamaan.
Guardiola memasukkan dua bintang utamanya, Kevin de Bruye dan Raheem Sterling pada babak kedua perlawanan tetapi Foden menjadi wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-75.
Anak buah Guardiola akan berkunjung ke Burnley untuk aksi pusingan 16 terbaik.
Sementara itu, Liverpool akan berdepan Arsenal sebanyak dua kali di Anfield dalam tempoh tiga hari ini, minggu depan selepas anak buah Jurgen Klopp menewaskan Lincoln dengan Takumi Minamino dan Curtis meledak dua gol.
“Semua pemain menggunakan peluang malam ini (awal pagi tadi) bagi membuktikan kemampuan masing-masing. Itu sangat penting.
Kita dapat lihat siapa yang menunjukkan kesungguhan malam ini dan banyak perkara yang saya suka, kita dapat lihat malam ini. Hanya dengan itu, anda akan mendapat peluang beraksi dalam banyak perlawanan musim ini,” kata Klopp.
Sumber: AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
SOCHI: Lewis Hamilton mengintai peluang untuk menyamai rekod Michel Schumacher yang memenangi 91 perlumbaan dalam saingan Formula Satu (F1) menjelang Grand Prix (GP) Russia Ahad ini biarpun timbul kebimbangan dengan penularan COVID-19 selepas penganjur membenarkan kehadiran 30,000 penonton.
Juara dunia enam kali itu hanya kurang satu lagi kemenangan untuk menyamai rekod Schumacher yang dilihat sukar ditandingi sebelum ini.
Bagaimanapun, dia berada di landasan terbaik untuk mengatasi rekod berkenaan selepas meraih empat kejuaraan dunia dalam tempoh enam tahun.
Dia juga mencatatkan enam kejuaraan dalam sembilan perlumbaan musim ini untuk mengungguli kedudukan keseluruhan dengan perbezaan 55 mata mengatasi rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas.
Selain Hamilton dan Bottas, satu-satunya pelumba lain yang pernah meraih kejuaraan di Sochi adalah bekas pelumba Mercedes, Nico Rosberg sejak perlumbaan di negara berkenaan kembali diletakkan dalam kalendar F1.
Jika Mercedes berjaya merekodkan kejayaan sekali lagi di Sochi sejarah akan tercipta dengan menjadi satu-satunya pasukan paling banyak muncul juara dalam satu GP.
Penganjur berkata setakat ini 30,000 penonton dijangka hadir menyaksikan perlumbaan itu dan tiket untuk GP Russia sudah habis terjual.
AFP
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!
BANGKOK: Pasukan liga utama Thailand, Police Tero FC masih menanti ketibaan pemain baharunya yang juga pemain naturalisasi pertama Malaysia, Mohamadou Sumareh,
Bekas pemain sayap pasukan Pahang berusia 26 tahun itu melengkapkan perpindahannya untuk menyertai pasukan di tangga keempat Liga 1 Thailand pada 7 September lalu.
Pengurus Police Tero FC, Tanya Vongnark berkata ketibaan Sumareh ke Thailand tertangguh disebabkan penularan pandemik COVID-19.
Katanya, pemain kelahiran Gambia itu kini menunggu untuk mendapatkan permit masuk daripada Kedutaan Besar Thailand di Malaysia serta pusat pentadbiran situasi COVID-19 (CCSA) untuk memasuki Thailand.
“Kami telah menyiapkan semua dokumen yang diperlukan sejak 6 September lalu bagi membolehkan Sumareh bermain dengan kami musim ini. Kami mahu dia datang ke sini secepat mungkin.
“Sumareh mempunyai keinginan untuk bermain dalam liga Thailand. Dia mahu membuktikan kebolehannya. Ini adalah cabaran baharu (untuk Sumareh). Ia pastinya sesuatu yang menarik untuknya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sumareh bakal bergandingan dengan rakan skuad Harimau Malaya, Dominic Tan yang menandatangani kontrak selama dua tahun dengan Police Tero FC pada Julai tahun lalu.
Menurut Tanya, Sumareh perlu terlebih dahulu menjalani kuarantin wajib di hotel yang ditetapkan sejurus tiba.
Mengulas mengenai perselisihan antara Sumareh dan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tanya berkata Polis Tero FC mematuhi peraturan perpindahan oleh Persekutuan Bola Sepak Persatuan Antarabangsa (FIFA).
“FIFA memberikannya (Sumareh) Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC). Jadi, perpindahannya adalah rasmi. Pertikaian antara Sumareh dan bekas kelab bola sepaknya tidak ada kaitan dengan Police Tero FC. Kami tidak akan masuk campur,” katanya.
Pada 2018, Sumareh telah mendapat kewarganegaraan Malaysia dan menyarung jersi Harimau Malaya selepas menjalani proses naturalisasi.
Pemain berkenaan yang mempunyai baki kontrak bersama Pahang sehingga 2022, beralih ke Police Tero FC dua minggu selepas jurulatih Pahang Dollah Salleh mendedahkan pemain itu dilaporkan tidak menjalani sesi latihan pasukan itu sejak awal Ogos.
Sumareh juga dilaporkan turut tidak menghadiri beberapa aksi Liga Super membabitkan Pahang sebaik sahaja saingan Liga Malaysia bersambung pada 28 Ogos.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan kemelut antara Sumareh dan PBNP adalah disebabkan kegagalan persatuan itu membayar tunggakan gaji, yang menyebabkan dia membuat tuntutan lebih RM1 juta dari Pahang melalui peguamnya yang berpangkalan di Switzerland.
BERNAMA
Sahih - Berita-berita Terkini Yang Pasti Sahih Dan Tepat | Dapatkan berita sahih dan cari tajuk utama berita terkini yang pasti sahih dan tepat melalui saluran blog berita sahih dot com dot my. Tak pasti jangan kongsi!